Seorang lelaki parah selepas kereta dipandunya hilang kawalan dan 'terbang' sebelum merempuh empat buah kenderaan di Jalan Batu Berendam di sini semalam.

MELAKA – Seorang lelaki parah selepas kereta dipandunya hilang kawalan dan ‘terbang’ sebelum merempuh empat buah kenderaan di Jalan Batu Berendam di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, mangsa, Jeremy Ong Chin Shen, 35, terpaksa dikejarkan ke Zon Merah Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan akibat kecederaan dalaman.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Waja ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya menuju arah Batu Berendam dari Peringgit.

“Sebaik tiba di lokasi kereta dipandu mangsa telah hilang kawalan sehingga melanggar paip air di sebelah kiri jalan lalu terbabas merempuh sebuah motosikal yang diparkir di situ.

“Kereta itu kemudian telah melayang sebelum terbalik atas bumbung tempat letak kenderaan kilang Central Cable.

“Kenderaan itu kemudian jatuh menghempap sebuah Proton Wira dan dua Honda City yang juga diparkir di situ tanpa melibatkan mangsa lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Christopher, sampel darah pemandu itu yang bekerja sendiri turut diambil bagi ujian alkohol dan dadah dalam darah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, kejadian berkenaan turut tular yang menyaksikan sebuah Proton Waja hilang kawalan sebelum ‘terbang’ menghempap beberapa buah kereta. – MalaysiaGazette