KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan kos ganti rugi sebanyak RM300,000 dibayar kepada bekas Ketua Bahagian UMNO Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Perintah itu dibuat selepas mahkamah memutuskan penahananya tidak sah mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) pada 2015.
Hakim Mahkamah Tinggi, Quay Chew Soon ketika membacakan keputusan mendapati Khairuddin berjaya membuktikan penahanannya di Penjara Sungai Buloh selama 60 hari itu dibuat menyalahi undang-undang.
Khairuddin memfailkan saman terhadap lapan defendan susulan penahanan dan pendakwaannya mengikut SOSMA pada Mei 2018.
Beliau mendakwa ditahan pihak berkuasa pada 18 September 2015 mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan sebelum dibebaskan pada 23 September, tetapi ditahan semula mengikut SOSMA.
Khairuddin kemudian di hadapkan ke Mahkamah Majistret mengikut Seksyen 124L SOSMA atas dakwaan cuba sabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.
Secara keseluruhan, plaintif ditahan selama 60 hari di Penjara Sungai Buloh dan pada 12 Mei 2017, mahkamah dimaklumkan pihak pendakwaan tidak akan meneruskan kes itu terhadap plaintif sebelum Khairuddin dilepas serta dibebaskan daripada pertuduhan.
Bagaimanapun mahkamah menolak dakwaan Khairuddin penahanan beliau berniat jahat. – MalaysiaGazette