IMBAS KEMBALI. Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil sedikit masa untuk berjumpa dengan penyokongnya ketika hadir ke mahkamah pada prosiding kes rayuan akhir berkaitan sabitan dan hukuman penjara penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 23 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan hadir prosiding kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM2.3 bilion di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah esok.

Ketika ini, Ahli Parlimen Pekan itu sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak semalam selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeweleng dana SRC International (SRC).

Selain esok, pada Jumaat ini, Najib akan menghadiri prosiding kes meminda laporan audit 1MDB bersama-sama bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Untuk makluman, dua lagi kes yang dihadapinya ialah penggubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC yang prosidingnya sedang ditangguhkan oleh pendakwaan bagi mengikuti terlebih dahulu perkembangan keputusan SRC semalam.

Manakala satu lagi kes membabitkan Najib dan bekas Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah yang didakwa atas enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion yang akan diperdengarkan pada tahun hadapan.

Pastinya kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini akan menjadi tumpuan pelbagai pihak khasnya media esok yang mahu membuat liputan Najib menghadiri prosiding mahkamah selepas dipenjarakan.

Difahamkan pengurusan mahkamah sudah mula membuat persiapan serta kawalan keselamatan bagi memastikan semuanya berjalan dengan lancar. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast