FOTO hiasan - Seorang pekerja warga asing memeriksa paip konkrit sebelum menjalankan proses pemasangan paip bawah tanah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Cadangan kerajaan untuk mewajibkan pekerja asing menabung dikhuatiri melanggar hak asasi manusia dan prinsip kebebasan yang ditekankan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, selain itu, “simpanan wajib” juga akan menyebabkan pendapatan boleh guna pekerja berkurangan, seterusnya menjejaskan daya tarikan Malaysia buat pekerja asing.

Beliau berkata demikian kepada Nanyang Siang Pau sebagai mengulas laporan bahawa kerajaan berhasrat melancarkan skim simpanan untuk pekerja asing.

Skim itu bertujuan memastikan pekerja asing mempunyai simpanan semasa mahu balik ke negara asal.

Keadaan itu juga dapat mengelakkan pekerja asing terus berada di Malaysia kerana kekurangan simpanan.

Syed Hussain berkata, skim simpanan itu boleh dipertimbangkan, tetapi kerajaan patut berbincang dengan pihak berkepentingan terlebih dahulu untuk menggariskan langkah-langkah pelaksanaan dan mengelakkan kekeliruan.

Mengenai punca pekerja asing terus berada di Malaysia selepas tamat tempoh permit, Syed Hussain berkata, keadaan itu berlaku kerana suasana kerja di Malaysia dan kebajikan mereka yang dijamin oleh Akta Kerja.

Katanya, untuk mengatasi masalah yang berlaku, kerajaan perlu melakukan penguatkuasaan secara tegas dan memberi ganjaran kepada individu yang membuat laporan tentang pekerja asing tanpa izin.

Sementara itu, Datuk Seri M. Ramachelvam dari Badan Peguam Malaysia berpendapat simpanan berbentuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu dengan sumbangan dari majikan dan pekerja adalah dialu-alukan.
Beliau bagaimanapun menolak jika simpanan itu dilakukan melalui potongan gaji secara wajib daripada pekerja sahaja.
“Sebarang program yang dilaksanakan harus serupa dengan layanan kepada pekerja rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette