KAJANG – Suasana sekitar Penjara Kajang di sini hari ini masih terkawal dan tiada kelibat mana-mana ahli keluarga Datuk Seri Najib Razak melawat bekas perdana menteri itu.
Tinjauan MalaysiaGazette sejak pukul 7 pagi mendapati hanya kakitangan dan ahli keluarga banduan penjara sahaja hadir di pintu masuk penjara berkenaan.
Bagaimanapun, kawalan keselamatan di pintu masuk penjara dilihat semakin ketat dengan kehadiran lebih daripada lima pegawal keselamatan dan pegawai penjara.
Sesiapa sahaja yang ingin memasuki perkarangan penjara akan diperiksa malah terdapat skuad anjing pengesan ditempatkan di pintu masuk penjara.
Tidak dapat dipastikan sama ada Najib akan kekal di Penjara Kajang akan dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh hari ini seperti proses terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2015.
Bagaimanapun ada spekulasi bahawa Najib sudah dipindahkan ke Sungai Buloh pukul 2 pagi tadi berdasarkan maklumat penduduk sekitar yang enggan dikenali.
“Malam tadi ada bunyi siren pukul 2 pagi tadi tapi tidak pasti sama ada Najib yang dibawa pergi,” katanya.
MalaysiaGazette sempat mendapatkan respon daripada pengawal keselamatan penjara berhubung dakwaan tersebut namun mereka tidak dapat mengesahkan perkara itu.
“Saya tidak tahu kami baru tukar syif,” katanya ringkas.
Hari ini adalah hari kedua Najib berada di Penjara Kajang sejak petang semalam.
Najib, 69, dihantar ke Penjara Kajang kira-kira 5.43 petang menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan berwarna hitam diiringi beberapa kenderaan polis dan tiba di penjara pada 6.47 petang. – MalaysiaGazette