Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir ke mahkamah hadir perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Peguam yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)  seperti hilang sabar apabila saksi ke-26 seakan-akan tidak tahu apa-apa.

Peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah berkata, beliau tidak pernah menemui saksi seumpama itu yang asyik memberi alasan tidak tahu atau tidak pasti dengan keterangan yang diberikan.

Saksi yang dimaksudkan ialah bekas Setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari (BPKA) Kementerian Kewangan ketika itu, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa.

“Yang Arif, saya tidak pasti dengan saksi ini. Saksi ini tidak akan bawa kita ke mana-mana. Sepanjang karier saya selama 46 tahun, inilah saksi yang seperti ini saya tengok.

”Sepatutnya pendakwaan tarik beliau daripada menjadi saksi. Langsung tidak berguna. Beliau ada satu kenyataan saksi seperti buku teks, begitu menarik tapi hari ini langsung tidak tahu apa-apa pula.

“Saya hendak tahu, mengapakah saksi ini dipanggil? Adakah anda pasti ini adalah kenyataan saksi kamu?” soal Muhammad Shafee di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Datuk Siti Zauyah Md Desa
-Gambar Arkib MG

Pada satu peringkat Muhammad Shafee terpaksa meninggikan suaranya meminta saksi menjawab soalan yang dikemukakan namun Siti Zauyah tidak memberikan respon sehingga soalan yang sama terpaksa diulang berkali-kali. 

Muhammad Shafee bertanya kepada saksi adakah kenyataannya telah ditulis olehnya sendiri.

Siti Zauyah menjawab kenyataan saksi telah ditulis oleh pegawai Kementerian Kewangan (MOF) tanpa kehadirannya sebaliknya hanya diberikan masa yang begitu singkat untuk melihat kenyataan tersebut.

Muhammad Shafee kelihatan begitu terkejut, menggeleng kepalanya dan bertanya kepada pendakwaan tentang saksi itu.

Bagaimanapun beliau sempat memuji saksi kerana membuat pengakuan terbuka dan mengingatkan Siti Zauyah bahawa beliau telah membuat pengakuan sumpah ketika membuat kenyataan saksi itu.

Beliau kemudian meminta sedikit masa untuk menangguhkan sebentar prosiding mahkamah.

Selepas menyambung prosiding, Siti Zauyah memberitahu mahkamah bahawa pernyataan saksinya sebenarnya disediakan oleh dua pegawai bawahan pada saat-saat akhir dan bukan disediakan olehnya.

“Saya hanya ditunjukkan dengan pernyataan saksi ini di saat akhir. Saya tidak diberikan peluang untuk membaca keseluruhan dokumen itu.

“Saya tidak tahu sama ada kandungan dalam dokumen ini adalah dalam pengetahuan saya.

“Ia disediakan oleh dua pegawai saya tanpa kehadiran saya, saya hanya tandatangan sahaja,” ujarnya.

Muhammad Shafee ketika itu dalam soal balas saksi berhubung tiga dokumen berkaitan 1MDB dikemukakan di mahkamah melalui e-mel terkandung dalam penyata saksinya.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melambai ke arah penyokongnya selepas menghadiri prosiding kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 OGOS 2022.

Prosiding telah ditangguh kepada 5 September depan kerana Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan dirinya tidak begitu sihat.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan sedang dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa kesalahan di 1MDB dilakukan oleh Jho Low dengan restu Najib.

Pasukan pembelaan, bagaimanapun, mendakwa tertuduh tidak mengetahui tentang salah laku dan keseluruhan skim penyelewengan yang didalangi oleh Low dan beberapa ahli pasukan pengurusan firma itu.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta, dan dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini oleh pegawai Penjara Kajang. -MalaysiaGazette