asyraf wajdi dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendoakan agar Allah SWT mempermudahkan segala urusan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di mahkamah dan dibersihkan namanya jika benar beliau tidak bersalah.

“Negara memerlukan ahli-ahli politik muda masa depan yang berintegriti, amanah dan berakhlak. Amin,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa persoalan yang dibangkitkan Syed Saddiq kononnya pemimpin-pemimpin UMNO meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob campur tangan dalam kes mahkamah Datuk Seri Najib Razak telah dijawab kelmarin.

Asyraf Wajdi mengulangi bahawa tiada desakan kepada Perdana Menteri untuk campur tangan keputusan mahkamah kerana tidak logik beliau boleh berbuat demikian sedangkan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan semuanya dilantik pada zaman Pakatan Harapan (PH).

“Bukan seperti zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri boleh pecat sesuka hati Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas bila tak sehaluan,” katanya.

Beliau juga masih berpegang kepada prinsip undang-undang iaitu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

“Saudara berhak mendapatkan ruang dan peluang seluas-luasnya di mahkamah hatta jika mahu menukar peguam dan atas sebab itu mahu menangguhkan buat seketika kerana itu juga dijamin Perlembagaan.

“Saya juga tidak pernah dan tidak akan sesekali menghukum saudara bersalah selagi mahkamah tidak berbuat demikian,” jelasnya.

Asyraf Wajdi turut menyatakan bahawa beliau bersedia menunggu jawapan Syed Saddiq mengenai justifikasi menggunakan wang parti untuk kegunaan sendiri termasuk membuat deposit ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) milik peribadi. – MalaysiaGazette