Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menggesa supaya Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin menggugurkan Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad daripada jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Rafizi berkata, Muhyiddin perlu membawa usul itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jika beliau benar-benar mahu membanteras rasuah.

Menurutnya, tindakan itu perlu diambil terhadap Abdul Latiff berhubung pembabitan beliau dalam isu kapal tempur pesisir (LCS) ketika menjadi Timbalan Menteri Pertahanan.

Abdul Latiff sehingga kini tidak membuat penafian mengenai pendedahan dalam Laporan Forensik Projek LCS yang telah dinyahklasifikasi oleh kerajaan.

“Ada dua tindakan bermaruah yang perlu disegerakan. Pertama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu memecat Latiff dari jemaah menteri

“Kedua Tan Sri Muhyiddin perlu memaklumkan secara rasmi kepada Perdana Menteri yang Bersatu membuat keputusan supaya Dr. Latiff digantikan dengan calon lain dari Bersatu di dalam jemaah menteri

“Ini satu ujian penting untuk menilai adakah Tan Sri Muhyiddin dan Bersatu benar-benar ikhlas menentang rasuah, seperti tulisan beliau yang mengambil kredit atas penghukuman kes SRC baru-baru ini,” kata Rafizi.

Sementara itu Rafizi terus mendesak Dr. Abdul Latiff supaya menafikan bahawa Zainab Mohd Salleh adalah isterinya.

Rafizi mendakwa jika Ahli Parlimen Mersing itu tidak membuat sebarang penafian mengenai tuduhan itu maka ia akan dianggap sebagai satu kebenaran.

“Sejak saya mendedahkan seorang yang bernama Zainab Mohd Salleh (670430-01-XXXX) sebagai individu yang dinamakan sebagai isteri Datuk Dr. Latiff Ahmad (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) di dalam Laporan Forensik Projek LC, sehingga sekarang Dr. Latiff tidak menafikan kenyataan itu. Satu-satunya kenyataan yang dikeluarkan adalah sebelum saya mendedahkan identiti sebenar Zainab Mohd Salleh.

“Penafian Dr Latiff (bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isteri saya) jelas merujuk kepada individu lain (iaitu CFO Dialog Berhad) bertujuan untuk mengelirukan orang ramai,” katanya.

Sebelum ini Rafizi mendakwa Zainab adalah isteri kepada Abdul Latiff tetapi bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu menafikan.

Bagaimanapun Rafizi sekali lagi melemparkan tuduhan tersebut semalam dengan penambahan beberapa fakta.

“Dengan tiadanya penafian atau kenyataan balas menafikan yang individu yang dinamakan itu isterinya, rakyat boleh membuat kesimpulan bahawa pendedahan saya itu benar,” kata Rafizi penuh bangga.-MalaysiaGazette