Datuk Awang Hashim

ALOR GAJAH – Kementerian Sumber Manusia (KSM) belum menerima sebarang aduan atau cadangan rasmi daripada mana-mana pihak untuk membenarkan pelarian Rohingya bekerja dalam sektor formal di negara ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Awang Hashim berkata, ia termasuk cadangan daripada Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang dikatakan telah berbincang dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) mengenai perkara itu.

“Di peringkat KSM, belum ada lagi perbincangan dan juga aduan-aduan (Rohingya bekerja di sektor formal) diterima secara rasmi (tapi) mungkin perbincangan di luar sana oleh pihak-pihak tertentu belum sampai secara rasmi kepada kita.

“Mungkin (apa) wartawan tahu itu maklumat tidak rasmi sebab kita sendiri tidak tahu lagi lagi sektor mana mereka minta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan bantuan kepada orang berinsurans (OB) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Mohd Zulkipli Omar pada program Lawatan PERKESO Prihatin Dan Majlis Penyampaian Faedah Serta Peralatan Pemulihan di Taman Kelemak Jaya, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah PERKESO Melaka, Abdul Razak Omar.

Awang (kiri) menyampaikan bantuan kepada Mohd Zulkipli Omar pada program Lawatan PERKESO Prihatin Dan Majlis Penyampaian Faedah Serta Peralatan Pemulihan di Taman Kelemak Jaya, ALor Gajah, Melaka hari ini.

Media Selasa lalu melaporkan Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan untuk membenarkan pelarian Rohingya bekerja di sektor formal.

Menurutnya, perkara itu sudah dibincangkan bersama wakil UNHCR dalam satu pertemuan baru-baru ini yang membincangkan langkah dan strategi perlu diambil bagi meyakinkan kerajaan untuk membenarkan pelarian di Malaysia bekerja di sektor itu.

Majikan juga katanya, bersedia memberi latihan semasa bekerja (OJT) sekiranya pelarian dibenarkan untuk diambil bekerja dalam sektor dalam sektor pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, pelancongan, makanan dan minuman (F&B) serta peruncitan.

Mengulas lanjut Awang berkata, sebarang keputusan mengenai perkara itu perlu dicapai secara rasmi di meja rundingan melibatkan semua pihak.

“Jadi kena tunggu keputusan rasmi yang sampai kepada kementerian untuk kita susun atur (putuskan),” katanya. – MalaysiaGazette.