Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid . Foto MOHD ADZLAN, 18 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga tempatan cedera di dada dan lengan selepas ditembak dalam kejadian di Kota Damansara, Petaling Jaya di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam kejadian pada 8.40 malam itu, mangsa seorang peniaga berusia lingkungan 40-an berjaya melarikan diri dan mendapatkan bantuan dari pengawal keselamatan di kawasan perumahan berhampiran.

“Mangsa yang sedang menunggang sebuah motosikal telah terbabas ke tepi jalan akibat ditembak oleh suspek yang tidak dikenali,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, mangsa dibawa ke hospital berhampiran oleh keluarganya bagi menerima rawatan.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya. – Bernama