Tiga suspek sindiket mencuri komponen kereta yang diletakkan hadapan bengkel menggunakan lori tumpas di tangan polis awal pagi semalam. Gambar Ihsan IPD Ampang

KUALA LUMPUR – Satu sindiket mencuri komponen kenderaan yang menyasarkan bateri dan tayar ganti kereta di sekitar Ampang, dekat sini, tumpas dengan tertangkapnya tiga lelaki di Pandan Indah, di sini, semalam

Sindiket tersebut menggunakan lori untuk melarikan barang curi itu.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian terbaharu, suspek melarikan bateri dan tayar ganti kereta di sebuah bengkel membaiki kenderaan di di Jalan Bukit Permai Utama, Taman Industri Bukit Permai, di sini pada 12 Ogos lalu.

“Dalam kejadian yang berlaku jam lebih kurang 10 pagi itu semasa pengadu sampai di bengkel keretanya terkejut selepas pemeriksaan terhadap tiga buah kereta milik pelanggan lain yang diparkir di hadapan bengkelnya didapati telah hilang bateri kereta dan tayar gantinya disyaki dicuri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk menambah, polis telah memulakan siasatan berikutan laporan polis yang diterima daripada pengurus bengkel berkenaan.

Menurutnya, bertindak atas aduan pada 25 Ogos lalu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya telah membuat tangkapan ke atas tiga lelaki warga tempatan di stesen minyak di Jalan Pandan Indah.

“Kesemua suspek berkenaan yang berusia antara 32 dan 41 tahun itu telah dicekup hasil serbuan yang dilakukan polis di Pandan Indah dan di Blok BK Rumah Pangsa 610, Jalan Pandan Indah kerana disyaki terlibat di dalam kejadian jenayah tersebut.

“Pasukan kami telah membuat pemeriksaan lanjut sebelum berjaya merampas sebuah lori Jenis Toyota Hiace warna merah, sehelai baju T-Shirt warna putih dan beberapa peralatan membuka komponen kenderaan yang digunakan oleh kesemua suspek melakukan jenayah tersebut.

“Semakan lanjut mendapati suspek pertama mempunyai 10 rekod, suspek kedua memiliki satu rekod, manakala suspek ketiga mempunyai 12 rekod lampau kesalahan jenayah dan narkotik,” ujar beliau.

Menurut Mohamad Farouk, suspek pertama dan kedua direman selama tiga hari bermula semalam hingga Sabtu ini, manakala reman suspek ketiga dibenarkan selama empat hari sehingga 28 Ogos ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Jelas beliau, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri mana-mana bahagian komponen kenderaan bermotor.

Seksyen tersebut memperuntukan hukum penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih dari tujuh tahun beserta denda, kata beliau. – MalaysiaGazette