KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Jenayah Siber, di sini, melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) pereka grafik dan kartunis politik, Fahmi Reza yang didakwa menghina bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba di laman sosialnya pada Februari lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Nor Hasniah Ab Razak membuat ketetapan itu pada hari ini.
Fahmi yang sering dilanda kontroversi itu menulis di Facebook beliau bahawa hakim telah bersetuju dengan bantahan awal pihak pembelaan bahawa pertuduhan terhadapnya adalah cacat.
Nor Hasniah turut memerintahkan wang ikat jamin dipulangkan kepadanya.
“Berita baik dari Mahkamah Kuala Lumpur. Hakim telah bersetuju dengan bantahan awal yang kami kemukakan untuk kes poster satira dan gugurkan pertuduhan terhadap aku.
“Hakim isytihar pertuduhan terhadap aku adalah cacat. Wang jaminan telah dikembalikan. Dua berita gembira dalam satu minggu, Najib masuk, aku keluar,” tulisnya hari ini.
Fahmi atau nama sebenarnya Fahmi Reza Mohd Zarin pada 10 Februari lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menghina Dr Adham di Twitter.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia, yang mana pihak pendakwaan berhujah dia memuat naik hantaran itu pada 10 Februari 2021 dengan niat untuk mengganggu orang lain.
Hantaran itu menyentuh dasar Kabinet 2021 yang membenarkan menteri menjalani kuarantin tiga hari berbanding 10 hari selepas pulang dari luar negara.
Adham adalah Menteri Kesihatan antara Mac 2020 hingga Ogos 2021 sebelum bertukar portfolio kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Fahmi turut didakwa di bawah peruntukan sama pada 17 Februari lalu kerana menghina Pas di Facebook dengan mengaitkan parti itu dengan gambar menunjukkan bir. – MalaysiaGazette