KUALA LUMPUR – Filem tempatan arahan Suhaiza Aziz berjudul Eva mencipta kejutan terpilih sebagai pemenang anugerah bulanan (Julai 2022) bagi kategori thriller dan suspen di Festival Filem Cannes baru-baru ini.
Dalam pencalonan awal, Suhaiza berkata, filem sulungnya itu bersaing dengan dua buah naskhah lain iaitu Deadline dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Ivy dari Jerman.
Dengan kemenangan itu, Eva akan ditayang di Festival Filem Cannes 2023 dan turut dicalonkan untuk merebut anugerah Filem Terbaik Kategori Thriller dan Suspen.
“Saya tidak menyangka sama sekali filem Eva akan menang kerana mendapat saingan yang bukan calang-calang daripada filem terbitan Emiriah Arab Bersatu dan Jerman.
“Apabila tiba-tiba produser, Diyana Ismail, tunjuk poster yang Eva tercalon, kami semua terkejut. Tambahan pula, ini adalah karya pertama saya sebagai pengarah.
“Walaupun baru tercalon, apabila kami nampak nama Malaysia, bangga rasanya,” kata Suhaiza dalam satu kenyataan di sini.
Suhaiza menambah, kemenangan itu bukan sahaja menjadi pemangkin untuknya menghasilkan karya terbaik, malah menjadi satu titik permulaan kepadanya untuk mendalami lagi ilmu pengarahan.
“Saya menjadikan filem-filem Jerman sebagai rujukan di samping meneliti pembikinan filem dari Itali, Sepanyol dan menonton filem Tamil untuk mendapatkan kesan visual yang bagus.
“Saya juga melihat kejayaan filem lain sebagai panduan kerana saya sedar perlu banyak belajar dari mereka yang berpengalaman kerana saya bukanlah pelajar jurusan filem. Saya hadir dalam industri ini kerana minat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Justeru, Suhaiza berharap agar filemnya itu turut cemerlang di penganjuran Festival Filem Cannes 2023 yang dijadualkan berlangsung pada awal tahun hadapan.
Sementara itu, Eva adalah filem terbitan D Alpha Legacy Sdn Bhd (M), dengan membariskan pelakon utamanya iaitu Nadia Aqila , Nadia Brian dan Shamsul Danish.
Pelakon lain adalah Datuk Jalaludin Hassan , Tony Eusoff , Hasnol Rahmat , Sheera Iskandar, Azrel Ismail , Zain Ruffedge , Isma Daniel , Aleeza Kassim dan Norman Hakim.
Filem itu yang siap penggambaran pada Februari lalu, sedang menunggu tarikh wajib tayang daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk ditayangkan di pawagam di seluruh negara.
Penggambaran Eva hanya mengambil masa 15 hari di Kuala Lumpur dan Selangor dan ia mengisahkan Eva, Amy dan Mike adalah orang yang sama tetapi terperangkap dalam satu tubuh.
Eva sebagai pemilik tubuh terpaksa berhadapan dengan perubahan yang berbeza-beza akibat daripada trauma yang dialami sejak dia masih kanak-kanak.
Eva mempunyai seorang anak lelaki yang cuba memahami keadaannya dan kakaknya, Elly, sentiasa berada di sisinya.
Dalam kekeliruan dirinya itu, Eva berjaya menjadi seorang peguam. Namun itu tidak merubah dirinya menjadi manusia normal. Keadaan dirinya terus bertukar-tukar menjadi Amy, seorang pakar forensik dan Mike pula pembunuh. – MalaysiaGazette