Gerakan Pas
Oh Tong Keong

GEORGE TOWN – Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak berkaitan digesa menangani isu kekurangan bekalan ubat biasa yang mengakibatkan ribuan klinik berdepan risiko penutupan.

Timbalan Presiden Parti Gerakan, Oh Tong Keong berkata, berdasarkan laporan media 11,000 klinik dan farmasi berisiko menutup operasi susulan kekurangan bekalan ubat-ubatan asas berlarutan tanpa penyelesaian.

Jelasnya, terdapat ubat-ubatan yang mengalami kekurangan dalam satu tempoh masa malah jika bekalan kadang-kadang dipulihkan, kuantitinya sangat sedikit dan bekalannya akan terputus tidak lama selepas itu.

“Kekurangan bahan mentah bagi farmaseutikal dipercayai menjadi penyebab utama kepada masalah itu.

“Difahamkan pada masa ini, ubat untuk rawatan demam, batuk serta selsema sangat kekurangan di pasaran.

“Masalah ini mesti diselesaikan, jika tidak ia akan menyebabkan klinik tutup sekali gus mengancam kesihatan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Mengulas lanjut Tong Keong berkata, masalah kekurangan bekalan ubat adalah serius ini kerana  banyak klinik swasta serta farmasi tidak tahu cara mengatasinya sehingga memilih bagi henti operasi.

“Sehubungan itu, KKM dan Majlis Perubatan Malaysia diharap dapat  bekerjasama bagi menyelesaikan masalah semasa serta memulihkan bekalan ubat-ubatan di pasaran secepat mungkin bagi melindungi kesihatan rakyat, ” kata beliau. – MalaysiaGazette