SINGAPURA – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan jualan RM7 juta melalui Program Malaysia Fest 2022 di Singapura yang diadakan selama empat hari sejak semalam.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, kejayaan itu diyakini dapat dicapai apabila RM1.56 juta jualan dicatatkan pada hari kedua penganjuran itu.
Edisi kelima disertai 220 syarikat Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) Malaysia seluruh negara dengan mempromosikan pelbagai produk tempatan keluaran masing-masing.
”Program seumpama ini dilihat penting untuk mempromosikan kepada rakyat Singapura mengenai hasil pertanian Malaysia. Saya yakin pada tahun hadapan penyertaan semua negeri cukup positif bahkan kita mahu lihat penglibatan usahawan FAMA akan dapat menyertai Malaysia Fest pada masa akan datang.
“Daripada jumlah itu juga 90,000 pengunjung dijangka mengunjungi pesta aktiviti promosi produk agro makanan negara kepada masyarakat antarabangsa.
“Ia juga secara tidak langsung meningkatkan nilai eksport produk kita di pasaran global,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad berkata,berdasarkan statistik dagangan antarabangsa ke Singapura oleh MAFI, nilai eksport bahan makanan ke negara republik itu pada tahun lalu meningkat sebanyak 11.6 peratus kepada RM7.7 bilion berbanding RM6.8 bilion pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, nilai eksport buah-buahan pula meningkat daripada RM0.53 bilion kepada RM0.54 bilion tempoh yang sama.
Antara tarikan utama ialah FAMA akan membawakan produk segar tempatan seperti petai,nangka,cempedak dan ulam-ulaman kampung.
Selain produk hiliran seperti amplang Sabah, keropok lekor Terengganu termasuk kek lapis Sarawak.
“Jenis-jenis produk yang dikenalkan pada tahun ini lebih kepada produk yang melambangkan negeri di Malaysia yang sudah tentu membantu melonjakkan jualan usahawan.
“Saya percaya jualan kali ini amat dinantikan warga Singapura terutama setelah dua tahun tertangguh berikutan Covid-19,” katanya lagi.
Katanya juga, MAFI melalui FAMA sentiasa membantu para usahawan dalam menerokai ruang eksport yang ada bagi menggalakkan PKS tempatan menceburi bidang pengeksportan yang memiliki potensi pasaran lebih luas.-MalaysiaGazet