KUALA LUMPUR – Sering kali Perdana Menteri hanya memberikan ucapan perasmian pada majlis-majlis tertentu namun malam ini cukup berbeza.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat mempamerkan sisi berbezanya dengan mendeklamasi sebuah puisi nukilan dirinya kepada lebih 200 tetamu pada Malam Kemuncak Jelajah Puisi Merdeka Keluarga Malaysia 2022.
Jelasnya, beliau lebih biasa memberinya ucapan daripada mendeklamasikan puisi.
“Saya kalau diberi pilihan, biar saya berucap daripada berpuisi.
“Lapan tahun dulu kali terakhir saya berpuisi. Baru belajar daripada cikgu saya, minta maaf kalau ada masalah,” katanya sebelum mendeklamasikan puisi berjudul “Puisi Keluarga Malaysia’.
Deklamasi itu dibaca Ismail Sabri ketika merasmikan Malam Kemuncak Jelajah Puisi Merdeka Keluarga Malaysia 2022 do ibu negara malam tadi.
Hadir sama adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Tan Sri Annuar Musa.
Kali terakhir Ismail Sabri mendeklamasikan puisi ialah pada 2016 bertajuk Wahai Anak dalam program Bintang Berpuisi II anjuran Utusan Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Beliau yang ketika itu merupakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah turut memuji usaha institusi tersebut dan akhbar berkenaan dalam memperjuangkan Bahasa Kebangsaan.
Puisi 40 baris itu berkisar tentang makna sebenar Keluarga Malaysia yang dibawa beliau dalam mentadbir Putrajaya.
Berikut adalah puisi Keluarga Malaysia yang dibawa Ismail Sabri.
Keluarga Malaysia
kupetik tempa falsafah ini
dari bumi bertuah
harmoninya terbina
kejayaannya sempurna
dari bangsa
yang mengenal jalur budinya.
Keluarga Malaysia
dengan dada terbuka fikiran menerima
kita mencungkil kesamaan
tidak menggali perbezaan.
Persis selembar benang
kita kait tenun
meniadi sehelai kain
but hamparan sempurna
sebuah keluarga Malaysia
terjalin utuh
terangkum kebersamaan
penuh syukur.
Keluarga Malaysia
sekian lama terbina
atas kepercayaan keyakinan
semua bangsa semua etnik
semua agama semua kepercayaan
tidak menjadi tembok dan dinding
yang menghalang
lahirnya keluarga Malaysia sejati.
Keluarga Malaysia
dengan penuh kasih sayang
menganyam kesejahteraan kebahagiaan
kerna kita sebuah keluarga besar.
Keluarga Malaysia
Mari kita pertahankan
payung toleransi
hormat menghormati
dengan jati diri
cintakan negara
cintakan pertiwi. – MalaysiaGazette