Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – UMNO bakal mengambil tindakan untuk menyaman Malaysiakini dan Awani berhubung artikel yang disiarkan oleh kedua-dua agensi media terbabit.

Ketua Pergerakan UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, artikel yang ditulis oleh media tersebut bersifat fitnah, tidak bertanggungjawab dan tidak beretika.

Menurut Asyraf Wajdi, beliau telah menghubungi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan telah berbincang dengan peguam UMNO untuk memulakan tindakan saman ke atas Malaysiakini dan Awani hari ini.

Malaysiakini disaman berhubung penyiaran berita bertajuk ‘Kata dua Umno buat PM: Bubar Parlimen atau dipecat’

Berita tersebut yang memetik sumber, melaporkan Mesyuarat Biro Politik UMNO Rabu lalu ‘tegang’ dan tekanan diberikan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya segera mengadakan pilihan raya umum atau dipecat daripada parti.

Portal tersebut melaporkan, ada pemimpin UMNO yang hadir pada malam itu meninggikan suara terhadap perdana menteri, khususnya berkaitan hukuman penjara terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, saya berada dalam Mesyuarat Biro Politik UMNO dari awal hingga akhir.

“Apa yang dilaporkan oleh Malaysiakini kononnya mesyuarat memberi kata dua kepada Perdana Menteri sama ada untuk membubarkan Parlimen atau dipecat adalah fitnah dan berniat jahat untuk mencipta persepsi negatif terhadap UMNO,” kata Asyraf Wajdi.

Sementara tindakan terhadap Awani dibuat berkaitan laporan berita bertajuk ‘Majoriti Ketua Bahagian UMNO tolak usul desak PM campur tangan kes SRC – Sumber’.

Berita itu melaporkan, mesyuarat tergempar melibatkan ketua-ketua bahagian UMNO yang berlangsung di ibu pejabat parti itu minggu lalu gagal mencapai kata sepakat untuk mendesak Perdana Menteri campur tangan dalam kes mahkamah melibatkan Najib.

Menurut Awani, sumber dalaman memberitahu, ramai ketua bahagian yang hadir mesyuarat tersebut tidak bersetuju dengan arahan yang dikeluarkan pemimpin utama UMNO.

“Begitu juga kepada Awani yang turut membuat berita fitnah tempoh hari kononnya Mesyuarat Ketua-Ketua Bahagian UMNO ada mendesak untuk PM campur tangan dalam keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan SRC.

“Kedua-dua penglaporan berita fitnah ini langsung tidak bertanggungjawab dan beretika.

“Malaysiakini dan Awani seharusnya mendapatkan atau memetik sumber yang sahih bukan hanya sekadar menyatakan ‘sumber dalaman’ yang tidak berasas hingga mencetuskan persepsi negatif,” kata Asyraf Wajdi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast