PUTRAJAYA – Menteri Pertanian dan Industri Makanan telah mengetuai delegasi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menghadiri mesyuarat dua hala ke Arab Saudi mulai 24 hingga 26 Ogos lalu.
Mesyuarat dua hala ke Arab Saudi ini adalah atas undangan Menteri Alam Sekitar, Air dan Pertanian Arab Saudi, Abdjlrahman A. Alfadley sebagai susulan lawatan rasmi beliau bersama delegasi ke Malaysia pada 13 Julai 2022 lalu.
Lawatan delegasi MAFI bertujuan meneruskan rundingan bagi
memperkukuh kerjasama dalam sektor pertanian bersama Arab Saudi merentasi
pelbagai subsektor agromakanan, kata satu kenyataan hari ini.
Mesyuarat dua hala itu dimulakan dengan kunjungan hormat ke atas Menteri Alam
Sekitar, Air dan Pertanian Arab Saudi dan disusuli dengan mesyuarat bersama
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Kementerian Alam Sekitar, Air
dan Pertanian Arab Saudi.
Pelbagai usaha strategik kerajaan dengan kerajaan
(G2G) secara bilateral turut dibincang secara lanjut bagi mengukuhkan agenda
sekuriti makanan kedua-dua buah negara.
Bagi tahun 2021, Malaysia mengeksport hasil dan produk pertanian sebanyak
RM2.4 bilion ke Arab Saudi manakala jumlah import hasil dan produk pertanian
Arab Saudi adalah sebanyak RM100 juta.
Melihat kepada potensi tersebut, perjumpaan dua hala antara Menteri MAFI dengan rakan sejawatnya mampu memperkukuhkan lagi hubungan perdagangan hasil dan produk pertanian antara kedua-dua buah negara.
Pertemuan turut diadakan dengan Saudi Agricultural and Livestock Investment
Company (SALIC) dan Saudi Agricultural Development Fund (ADF) yang masing- masing telah membuka peluang untuk meneroka kolaborasi bersama yang akan
membawa manfaat bersama kepada kedua-dua pihak.
Beberapa siri perbincangan lain juga telah diadakan termasuk bersama Saudi Food
and Drug Authority (SFDA) bagi meningkatkan akses pasaran produk agromakanan
negara ke Arab Saudi dan National Research and Development Center foSustainable Agriculture (Estidamah) bagi membincangkan kerjasama teknikal dan
penyelidikan pertanian bersama Malaysian Agricultural Research and Development
Institute (MARDI).
Antara aspek potensi kerjasama yang akan diterokai termasuk R&D bersama,
makmal bersama, pertukaran pakar teknikal, pertanian moden, dan perkongsian
maklumat teknikal serta teknologi pertanian. Ini bakal menandakan kerjasama
penyelidikan pertanian yang pertama untuk MARDI di Arab Saudi.
Kerjasama erat yang terjalin melalui mesyuarat dua hala ini diharap akan terus
menyumbang kepada peningkatan jumlah perdagangan dan kerjasama dua hala
dalam usaha mengukuhkan agenda sekuriti makanan negara.
Ini juga selaras
dengan komitmen kerajaan khususnya dalam usaha menjamin ekosistem sekuriti
makanan yang lebih inklusif melalui kerjasama strategik yang komprehensif bagi
mempelbagaikan sumber dan rantaian bekalan makanan demi kemampanan
industri agromakanan negara.- MalaysiaGazette