BERA – Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM2 juta melalui inisiatif e-voucher Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) mulai 30 Ogos sehingga 31 Disember 2022.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bagi menggalakkan transaksi pembayaran tanpa tunai dalam kalangan para pengguna dan peniaga meliputi kawasan luar bandar.
“Melalui Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) hari ini, ia salah satu usaha kerajaan memastikan agenda digitalisasi berjaya dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam hantaran di laman Facebook selepas pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) dan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Dataran Kerayong hari ini.
Beliau berkata, program-program itu merupakan usaha berterusan kerajaan untuk membantu golongan peniaga dan pengguna ketika seluruh dunia berhadapan dengan peningkatan inflasi.
Seterusnya, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan memperluas dan menjenamakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) kepada JMKM melibatkan 600 buah kawasan Dewan Undangan Negeri seluruh negara dan 13 buah kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan.
“Alhamdullilah, kita mula melihat hasil yang positif daripada usaha-usaha Kerajaan secara berterusan termasuklah Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi,” tambahnya.
Menurut Ismail Sabri, kenaikan harga barang dan makanan kini lebih terkawal dan bekalan makanan terutamanya ayam dan minyak masak lebih terjamin.
Katanya pemulihan ekonomi menjadi agenda utama kerajaan termasuk pendigitalan sektor peruncitan seiring dengan peredaran teknologi pada masa kini.-MalaysiaGazette