Najib Razak (kiri) dan Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR – Kebocoran dokumen keputusan penghakiman sebelum ia dibacakan secara rasmi oleh hakim di mahkamah boleh mendatangkan persepsi tidak baik terhadap institusi terbabit.

Perbuatan membocorkan dokumen rasmi itu dilihat sebagai satu bentuk serangan terhadap sistem kehakiman di negara ini.

Mohd. Zainuddin Omar

Menurut peguam kanan Mohd. Zainuddin Omar, penyebaran keputusan penghakiman merupakan perbuatan khianat terhadap institusi kehakiman.

“Perbuatan ini bukan setakat menjejaskan imej instutusi kehakiman tetapi juga negara.
Pada saya ia merupakan satu serangan terhadap institusi kehakiman.

“Bukan setakat pengkhianatan sahaja, bukan sekadar menjatuhkan imej institusi kehakiman tetapi ia merupakan satu serangan,” kata Mohd. Zainuddin ketika dihubungi oleh MalaysiaGazette.

Beliau bagaimanapun berkata, kebocoran keputusan penghakiman tidak menjejaskan hak tertuduh seperti dalam insiden yang melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ini kerana keputusan melibatkan Najib seperti dalam dokumen yang dibocorkan telah dibuat berdasarkan hujah-hujah dibentangkan di mahkamah sebelum ini.

“Apa yang saya faham hujahan pihak-pihak sudah difailkan sebelum itu. Cuma ada hakim boleh mengarahkan hujahan lisan diberi. Hakim-hakim sebenarnya melalui hujahan itu sudah boleh buat dapatan.

“Cuma kalau kes itu tidak habis berhujah lagi. Maknanya keputusan itu tidak wajar dikeluarkan. Bermakna hakim itu seolah-olah pre-judge.

“Dalam kes Najib hujahan sudah lengkap cuma diberi oleh mahkamah untuk pihak Najib menyampaikan hujahan lisan. Hujahan lisan itu mungkin membolehkan hakim bertukar fikiran pada waktu akhir. Tapi malangnya apa yang berlaku dalam kes Najib peguamnya tidak mahu berhujah pada isu-isu rayuan.,” jelas Mohd. Zainuddin.

Sebelum ini media melaporkan draf keputusan penghakiman melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor telah dibocorkan lebih awal sebelum keputusan dibacakan secara rasmi oleh hakim terbabit.

Draf keputusan penghakiman Najib tular pada sebelah pagi sebelum Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membacakan keputusan rasmi pada petang Selasa lepas.

Sementara keputusan penghakiman Rosmah dibocorkan beberapa hari lalu sebelum ia dibacakan secara rasmi di mahkamah pada 9 September depan.

“Penghakiman (Rosmah) sepatutnya keluar pada 7 Julai sebenarnya. Tapi penghakiman tidak keluar kerana hakim mahu menyampaikan penghakiman pada bulan Ogos.

“Peguam sudah berhujah. hakim pula sudah boleh buat keputusan dan sudah boleh disampaikan yang pada mulanya dijadualkan pada 7 Julai. Tapi pada tarikh hakim mencadangkan untuk baca keputusan pada Ogos.

“Tapi mungkin peguam tidak lapang atau atas alasan lain (mereka) minta tarikh pada 1 September. Kalau dilihat di sini maknanya hujahan sudah habis dan keputusan penghakiman sudah ada. Cuma belum sampai tarikh yang ditetapkan,” jelas Mohd. Zainuddin.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan berkaitan kebocoran draf penghakiman Najib.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 203 Kanun Keseksaan.

Polis juga telah memulakan siasatan terhadap kebocoran dokumen keputusan penghakiman perbicaraan membabitkan Rosmah.

Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai, berkata kes disiasat bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan. Kedua-dua akta itu berkaitan kesalahan membocorkan maklumat.

Kes itu juga disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 kerana menyebarkan kenyataan jelik.-MalaysiaGazette