Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Propaganda konon Presiden UMNO minta Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera kerana takut untuk berdepan pengadilan mahkamah adalah fitnah dan permainan persepsi lawan politik semata-mata.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sejak awal lagi sudah menzahirkan sebuah keazaman yang nyata di mahkamah.

Begitu juga Datuk Seri Najib Razak yang telah berusaha sehabis baik bersama pasukan guamannya, namun perjuangannya tersekat kerana berdepan kesulitan yang ramai ketahui kisah menimpanya.

Bagaimanapun, katanya, kedudukannya dan Najib berbeza berbanding pemimpin-peminpin lain yang melepaskan diri dan rakan subahat daripada pengadilan sejurus berkuasa pada 9 Mei 2018.

Begitu juga sebahagian mereka adalah katak-katak yang melompat keluar dari UMNO gara-gara mahu mengelak berdepan pendakwaan politik oleh musuh UMNO tanpa rasa malu mahu berbicara tentang ketakutan.

Menyifatkan pihak yang memainkan propaganda itu usah ‘mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih’.

Bahkan, Ahmad Zahid berkata, mereka langsung tiada `moral standing’ apatah lagi maruah malah tidak layak berkata tentang kes mahkamah yang dikenakan terhadapnya.

”Saya fikir mereka yang sebenarnya berada dalam amat ketakutan ketika ini. Mereka yang sedang takutkan bayang-bayang sendiri. Takut balasan akan bakal menimpa disebabkan perbuatan fitnah mereka.

”Mereka yang sebenarnya dalam ketakutan mungkin dihadapkan ke mahkamah akibat kezaliman yang mereka lakukan disebabkan “overthinking” pihak yang mereka zalimi akan membalas perbuatan mereka selepas PRU-15.

”Sebab itu mereka bersungguh-sungguh mahu menghalang PRU-15 daripada diadakan dengan pelbagai putar-belit kerana mereka sendiri meyakini pegangan kuasa mereka bakal berakhir kerana ditolak oleh pengundi,” katanya.

Oleh itu, Ahmad Zahid menasihat pihak-pihak terlibat usah terlalu cemas kerana PRU-15 adalah sebuah proses demokrasi penting untuk memulangkan mandat kepada rakyat bagi mengembalikan kemakmuran di bumi Malaysia.

PRU bukan sebuah platform untuk melunaskan dendam politik seperti yang mereka lakukan pada PRU-14, ujarnya.

”Seperti saya katakan saya tidak berdendam, sentiasa memaafkan, namun sama sekali tidak pernah lupa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast