ACP Beh Eng Lai

KUALA LUMPUR – Polis telah selesai mengambil keterangan daripada beberapa individu setakat ini berhubung dakwaan kebocoran dokumen keputusan penghakiman kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi individu akan  tampil selepas ini untuk direkodkan kenyataan bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Buat masa ini, kami sudah merekodkan keterangan daripada individu yang mempunyai kaitan dengan kes tersebut.

“Antara individu yang dipanggil dan selesai dirakam percakapan termasuk pegawai mahkamah yang membuat laporan polis untuk melengkapkan siasatan.

“Polis juga tidak menolak kemungkinan ada ramai lagi individu yang akan dipanggil,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat kebocoran dokumen keputusan penghakiman kes Rosmah

Tambah Eng Lai, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 (kerana kesalahan membocorkan maklumat), Seksyen 203A Kanun Keseksaan (kerana kesalahan mendedahkan maklumat) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik).

Beliau dengan tegas menasihatkan orang ramai agar tidak lagi membaca atau berkongsi artikel yang diterbitkan oleh sebuah blog itu yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

Dalam kenyataan awal Sabtu lalu, Eng Lai mengesahkan polis telah menerima satu laporan polis berkaitan kebocoran dokumen keputusan penghakiman membabitkan rasuah isteri bekas perdana menteri itu.

Katanya, pada jam lebih kurang 5.56 petang Jumaat, pihak polis telah menerima aduan daripada seorang wanita warga tempatan berumur 42 tahun yang merupakan Pegawai Undang-undang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Ketua Unit Penyelidikan) berkenaan insiden pembocoran dokumen penghakiman perbicaraan Datin Seri Rosmah Mansor Melalui Blog Malaysia Today.

“Siasatan pihak polis mendapati kejadian tersebut berlaku pada Jumaat jam lebih kurang 11.29 pagi yang mana semasa pengadu berada di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur telah dimaklumkan berlaku kebocoran dokumen dalaman sulit yang merupakan dokumen deraf awal disediakan oleh Unit Penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Dokumen tersebut merupakan dokumen penyelidikan mengenai kes yang masih dalam perbicaraan dan merupakan pandangan oleh Unit Penyelidikan sebagai rujukan kepada hakim dan menurut pengadu dokumen tersebut akan dipinda berdasarkan kajian serta bacaan dan ia bukan satu keputusan penghakiman,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Tambah beliau, hasil semakan polis mendapati terdapat satu artikel tular yang telah dimuat naik di portal Malaysia Today bertajuk “Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022” bertarikh 26 Ogos 2022 yang diterbit oleh Raja Petra Kamarudin seperti mana dipautan berikut https://www.malaysia-today.net/2022/08/26/download-or-view-the-71-page-judgement-and-guilty-verdict-on-rosmah-mansor-here/ dan https://www.malaysia today.net/2022/08/26/ rosmah-mansor-will-be-pronounced-guilty-on-1st-september-2022/. – MalaysiaGazette