A A.Anbalagan menunjukkan barang curi yang dirampas dari sindiket pecah masuk rumah mewah yang tidak mempunyai alat penggera dan CCTV menggunakan kereta sewa bernombor pendaftaran palsu di sekitar Lembah Klang tumpas menerusi serbuan bermula 25 Ogos hingga semalam. Ihsan IPD Serdang.

SERDANG – Kegiatan pecah rumah mewah oleh Geng Ah Hau di sekitar Lembah Klang yang didalangi bekas banduan yang baru sahaja selesai menjalani hukuman penjara akhirnya tumpas ditangan polis.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, kumpulan ini bergiat aktif sejak dua bulan lepas selepas melakukan memecah masuk rumah pada 22 Ogos lalu di Bandar Puchong Jaya di sini, melibatkan kerugian sebanyak RM100,000.

Bertindak atas maklumat itu, polis telah menjalankan satu operasi bermula 25 Ogos lalu hingga semalam, berjaya memberkas lima suspek berusia antara 27 hingga 46 tahun termasuk seorang wanita.

Kesemua suspek yang ditahan itu mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Manakala ketua kumpulan ini, seorang lelaki berusia 36 tahun mempunyai 46 rekod jenayah lampau, tujuh rekod membabitkan dadah, selain baru selesai menjalani hukuman penjara di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 di Baling, Kedah dua bulan lalu.

 

BMW antara kereta mewah yang disewa dan dugunakan Geng Ah Hau untuk memecah masuk dan mencuri barang di rumah-rumah mewah. Gambar IPD Serdang

Bercakap pada sidang media di sini, Anbalagan menambah, geng ini menggunakan modus operandi menyewa kenderaan mewah antaranya BMW dengan bernombor pendaftaran palsu untuk memecah masuk dan mencuri barang-barang rumah mewah yang tidak memasang alat penggera dan kamera litar tertutup.

”Mereka akan memecah masuk rumah mewah yang telah dikenalpasti pada waktu siang dan akan menyewa kereta mewah dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu untuk mengelak wujudnya keraguan dan ditangkap polis.

“Hasil tangkapan dan pemeriksaan lanjut ke atas kesemua suspek, polis turut berjaya melakukan rampasan barang-barang yang disyaki hasil rompakan berjumlah RM300,000 termasuk empat buah kereta mewah serta pelbagai peralatan khas yang digunakan untuk memecah masuk rumah,” katanya.

Dengan penahanan lima suspek berkenaan polis berjaya menyelasaikan sebanyak tujuh kes pecah rumah yang berlaku di sekitar Lembah Klang membabitkan kumpulan ini.

Kesemua suspek kini sedang disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pada masa sama, polis juga giat mengesan saki baki barangan yang dicuri oleh kumpulan penjenayah berkenaan dan disyaki telah menjualnya melalui media sosial dan pihak ketiga. – MalaysiaGazette