Ahmad samsuri mokhtar
Ahmad Samsuri Mokhtar

PUTRAJAYA – Perikatan Nasional (PN) optimis dapat mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri tidak lama lagi.

Menurut wakil rasmi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, pihaknya yakin perjumpaan itu pasti akan berlaku, bagaimanapun ia masih bergantung kepada persetujuan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Belum ada tarikh lagi. Tidak lama lagi (akan jumpa PM). Saya rasa akan jumpa dalam waktu terdekat, tapi tidak pasti bila dan bergantung kepada tarikh dan masa yang bersesuaian daripada PM.

“Akan jumpa dan tidak tahu lagi apa yang akan dibincangkan tengok kepada keadaan,” katanya yang juga Menteri Besar Terengganu dan Bendahari PN kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Pada 18 Ogos lalu, PN berkata, perikatan gabungan parti politik itu sudah memintak tarikh baharu bagi pertemuan rasmi dengan Ismail Sabri.

Antara topik perbincangan yang akan dibawa PN membabitkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan pengisian jawatan yang disandang Datuk Zuraida Kamaruddin.

PN sebelum ini memutuskan pertemuan dengan Perdana Menteri sepatutnya membabitkan wakil rasmi iaitu Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ahmad Samsuri; Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Pada 13 Ogos lalu, Ismail Sabri berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan delegasi PN pada minggu terakhir sesi sidang Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan perjumpaan Perdana Menteri dengan Hamzah dan Ahmad Samsuri itu hanya pertemuan makan tengah hari dan bukan perjumpaan rasmi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast