Abdul Hadi Awang. PAS PH Pakatan Harapan Perikatan Nasional cooperation PASLeak Pas Leak
Abdul Hadi Awang.

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah selesai diambil keterangan bagi membantu siasatan bersabit laporan polis yang dibuat ke atas beliau sejak beberapa hari yang lalu.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, Duta Khas bertaraf Menteri ke Timur Tengah itu telah direkodkan keterangan oleh Bukit Aman pada hari ini.

“Hadi Awang telah hadir ke Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada 29 Ogos 2022 bagi membantu siasatan bersabit laporan polis yang telah dibuat terhadapnya.

“Beliau telah hadir bersama peguam beliau dan telah memberikan kerjasama sepanjang sesi rakaman keterangan berlangsung,” katanya menerusi kenyataan.

ARTIKEL BERKAITAN: Hadi akan dipanggil ke Bukit Aman

Tambah beliau, siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), JSJ Bukit Aman.

Dalam kenyataan awal semalam, Skandaguru mengesahkan setakat ini sebanyak 28 laporan polis telah diterima oleh PDRM ke atas Ahli Parlimen Pas Marang itu.

Kesemua laporan polis dan siasatan menyusul ke atas pemimpin politik itu selepas artikel kenyataan beliau disiarkan dalam sebuah portal berbahasa Inggeris Malay Mail bertajuk “Pas’ Hadi claims non-muslims, non-bumiputera make up the bulk of ‘roots of corruption”.

Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.

Abdul Hadi turut disiasat polis di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. – MalaysiaGazette