PKR Flag Anwar Ibrahim Prime Minister
Gambar hiasan

IPOH – PKR Perak berhasrat untuk bertanding di lebih 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PKR, negeri Chang Lih Kang berkata, daripada jumlah itu, parti tersebut menyasarkan memenangi 10 kerusi untuk membantu Pakatan Harapan  (PH) membentuk kerajaan negeri.

“Kami memang berharap ada lebih banyak kerusi berbanding 14 yang ditandingi pada PRU14 lepas. Namun segala-galanya akan diputuskan pucuk pimpinan yang dijangka bermesyuarat Khamis ini.

“Untuk penentuan kawasan dan calon yang dipilih, kami akan muktamadkan dalam masa sebulan dua lagi,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja dan Ahli Parlimen Tanjung Malim itu dalam sidang media hari ini.

Pada PRU14, PKR Perak bertanding di 14 kerusi DUN dan memenangi empat daripadanya iaitu Kuala Kurau, Teja, Simpang Pulai dan Hulu Kinta.

Bagi Parlimen, PKR Perak bertanding lima kerusi dan memenangi tiga kerusi melibatkan Tanjung Malim, Sungai Siput dan Gopeng.

Terdapat 59 kawasan DUN di Perak manakala kawasan Parlimen berjumlah 24.

Pada sidang media itu, Chang, yang juga Naib Presiden PKR dan dilantik sebagai Pengerusi PKR negeri pada 11 Ogos, turut memperkenalkan barisan baharu kepimpinan negeri bagi sesi 2022-2025. – Bernama