SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menawarkan potongan harga sebanyak 50 peratus bagi yuran pendaftaran permohonan membuat wasiat sempena Bulan Kebangsaan.

Tawaran istimewa ini telah pun bermula pada Ogos sehingga 18 September 2022 kepada pelanggan-pelanggan yang ingin membuat permohonan wasiat di MAIS, kata setiausahanya, Ahmad Shahir Makhtar

Pelanggan-Pelanggan yang ingin membuat wasiat di MAIS hanya perlu membuat bayaran berjumlah RM150 sahaja dan ia terhad untuk 2,000 pelanggan yang pertama.

Menurutnya, permohonan wasiat boleh dibuat secara online menerusi pautan https://siswa.mais.gov.my atau mengimbas kod respon pantas seperti yang tertera.

Orang ramai yang ingin mendapat maklumat lanjut mengenai wasiat boleh melayari laman web MAIS iaitu https://www.mais.gov.my/perkhidmatan-wasiat/ atau media sosial MAIS iaitu Facebook Majlis Agama Islam Selangor, Instagram iaitu mais_officialhq dan baitulmalmais.

MAIS adalah badan berautoriti agama Islam dalam negeri Selangor untuk merancang dan membahagi harta anda melalui Subseksyen 5 (4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu, “Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai wasi sesuatu wasiat atau sebagai pentadbir harta pusaka seseorang si mati atau sebagai pemegang amanah mana-mana amanah”.

MAIS sentiasa bersedia membantu orang ramai dalam menguruskan harta, bukan sekadar wasiat, malahan hibah, amanah, faraid, sedekah, wang tidak patuh syariah dan sebagainya. – MalaysiaGazette