Kuala Lumpur – Hati berasa kagum kali pertama melihat dari bawah ‘sky ring bridge‘ yang berbentuk bulatan penuh seolah-olah sebentuk cincin yang terletak elok di atas sendi empat di aras 27 menara Residensi Datum Jelatek.
Tidak pernah ada satu pun bangunan di negara ini, sama ada komersial mahupun kediaman yang mempunyai kejuruteraan seni reka ‘sky bridge‘ yang begitu sempurna seperti Residensi Datum Jelatek.
Kini ia menjadi salah satu bangunan ikonik di Lembah Klang yang pastinya akan membanggakan siapa sahaja yang menjadi penghuni di dalamnya.
Tidak dapat digambarkan perasaan apabila diberikan kesempatan menjejakkan kaki ke ‘sky ring bridge’ itu baru-baru ini.
Gayat memang gayat. Angin menerpa dari seluruh arah. Tetapi pemandangan indah seluruh Lembah Klang dari ‘sky ring bridge‘ menghilangkan semua perasaan gayat dan diganti dengan keterujaan.
Siapa sahaja yang menjadi penghuni kondominium mewah ini benar-benar bertuah.
Manakan tidak, penduduk bebas berjalan di atas ‘sky ring bridge‘ untuk melihat sepuah-puasnya pemandangan Kuala Lumpur dan Selangor daripada semua sudut, saujana mata memandang.
Di satu bahagian, kita boleh melihat menara pencakar langit KLCC, Merdeka 118, Exchange 101 dan Menara KL; di bahagian lain kita dapat melihat seluruh Keramat, Ampang dan Taman Melawati dengan bukit bukau yang menghijau.
Bayangkan, jika ada sesuatu perayaan seperti malam ambang merdeka anda boleh melihat percikan bunga api dari semua arah di sana sini hanya dengan berdiri di atas ‘sky ring bridge‘ ini!
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Datum Corporation Sdn. Bhd. Mohd. Azmil Abd Shukor, dengan ukur lilit 300 meter dan lebar 12 meter penduduk bebas untuk melakukan sebarang aktiviti di atas ‘sky ring bridge‘ termasuk untuk berjoging.
“Kalau nak kira dari segi struktur ia dibina daripada besi keluli. Ketika waktu pembinaan dulu mereka menaikan jambatan ini bermula dari pukul 8.00 pagi dan berjaya dilengkapkan pada pukul 12.00 tengah malam.
“Harga memang mahal lebih kurang RM30 juta untuk jambatan ini sahaja. Tetapi kenapa kita berbelanja banyak untuk ini? Kerana ia adalah ciri-ciri yang kita mahu supaya menjadi bangunan ikonik di Malaysia,” katanya bangga.
‘Sky ring bridge’ eksklusif untuk kegunaan penduduk di 712 kediaman Datum Jelatek sahaja. Ia tidak boleh diekses oleh orang luar kecuali jika dibenarkan oleh penghuni.
Datum Jelatek dengan nilai projek RM1.2 bilion menawarkan pelbagai jenis kediaman iaitu studio bermula seluas 550 kaki persegi, kediaman satu bilik bermula 750 kaki persegi, kediaman dua bilik bermula 1,250 kaki persegi dan kediaman tiga bilik seluas 1,600 kaki bersegi.
Selain ‘sky ring bridge’ terdapat kira-kira 55 kemudahan lain yang disediakan.
Ini termasuk kolam renang infiniti melebih saiz olimpik menghadap ‘garisan langit Kuala Lumpur’ dengan pemandangan KLCC, Merdeka 118, Exchange 101 dan Menara KL yang terletak tiga kilometer dari Datum Jelatek.
Di sebelah kolam renang terdapat sebuah jakuzi untuk penduduk berendam sambil menikmati panorama Kuala Lumpur pada bila-bila masa.
Dua gym disediakan untuk kegunaan penduduk iaitu di aras 11 dan aras 27 di mana terletaknya ‘sky ring bridge’.
Selain itu terdapat ‘putting green’ dengan tiga lubang untuk penggemar sukan golf melepaskan keinginan, tembok panjat untuk aktiviti lasak, gelanggang bola jaring, sauna, ruang reaksi keluarga dan bermacam lagi termasuk sebuah taman herba.
Di bahagian bahawa kediaman terdapat sebuah pusat membeli-belah iaitu Datum Mall setinggi tiga tingkat dengan 140 lot kedai.
Lebih menguntungkan penduduk terdapat sebuah stesen LRT yang terletak betul-betul di tepi bangunan Datum Jelatek.
Mereka boleh akses ke Stesen LRT Jelatek melalui jejambat dengan satu laluan khas kepada penduduk manakala satu lagi untuk pengunjung Datum Mall.
“Pasar raya ini berkeluasan lebih kurang 500,000 kaki persegi. Dalamnya mengandungi kedai dan restoran. Ini adalah pasar raya berkonsepkan kejiranan yang menyediakan keperluan penduduk setempat.
“Ada lima peringkat keselamatan di Datum Jelatek. Hanya penduduk yang ada kad elektronik khas boleh masuk ke tempat pakir, lif dan lobi. Penduduk hanya boleh akses ke aras kediaman masing-masing sahaja.
“Namun kad itu boleh digunakan di tingkat yang ada kemudahan untuk penduduk,” kata Mohd. Azmil.
Lebih membanggakan mengenai Datum Jelatek ialah bangunan itu menerima pengiktirafan Green Building Indexs (GBI) kerana ciri-ciri mesra alam yang diadaptasi pada pembinaannya.
Panel-panel tingkap dan cermin yang digunakan adalah daripada material yang membolehkan bahagian dalam bangunan sentiasa sejuk sekaligus menjimatkan penggunaan pendingin hawa.
Selain itu, bangunan itu juga mempunyai sistem untuk mengumpulkan air hujan ke dalam sebuah tangki yang dibina di bawah tanah. Air itu kemudiannya digunakan untuk tujuan pembersihan dan juga untuk menyiram tanaman.
Mohd. Azmil berkata, sehingga kini 50 peratus kediaman telah dijual.
Pihaknya menyasarkan jualan akan meningkat ke 70 peratus apabila Datum Mall dibuka secara rasmi pada 26 November depan, ujarnya. – MalaysiaGazette
Saya amat tertarik dengan Malaysiagazette , selamat maju jaya