Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee bercakap pada wawancara khas mengenai pencapaian Malaysia Prihatin Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di Wisma Tani, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 10 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Nilai dagangan pertanian di antara Malaysia dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada tahun lalu meningkat kepada RM1.51 bilion berbanding RM1.14 bilion pada tahun sebelumnya.

Sehubungan itu, Malaysia dan UAE komited untuk saling memperkukuhkan agenda kerjasama diplomasi sekuriti makanan antara kedua-dua buah negara.

Kerjasama berkenaan diperkukuh menerusi pertemuan antara Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee dengan Menteri Perubahan Iklim dan Alam Sekitar UEA, Mariam Mohammed Saeed Hareb Almheiri di negara tersebut.

Menurut kenyataan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), pertemuan antara kedua-dua menteri itu meluaskan lagi kerjasama dua hala dalam bidang pertanian antara Malaysia dan UAE.

“Terutamanya dalam penyelidikan dan pembangunan, perkongsian teknologi, fasilitasi perdagangan bagi produk dan aktiviti hiliran agromakanan, galakan akses pasaran serta pertukaran latihan dan kepakaran,” kata MAFI.

Menurut MAFI, lawatan kerja berkenaan turut mengukuhkan kerjasama teknikal antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan International Center for Biosaline Agriculture (ICBA) dalam bidang pertanian melalui pengurusan pengairan dan perubahan iklim.

Jelas kementerian itu, pelbagai usaha strategik kerajaan dengan kerajaan (G2G) secara bilateral turut dibincangkan secara lanjut bagi mengukuhkan lagi kerjasama dalam sektor kedua-dua buah negara dalam bidang pertanian yang telah wujud melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan UAE bagi Kerjasama Diplomasi Sekuriti Makanan sejak 10 Mac 2021. – MalaysiaGazette