Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa penolakan Rafizi Ramli untuk Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan gabungan itu sebagai ‘sekadar pandangan peribadi’ disambut dengan sinis oleh Timbalan Presiden PKR itu.

Rafizi berkata, Muhyiddin seolah-olah lebih mengetahui keputusan yang dibuat oleh Majis Presiden PH berbanding dirinya yang juga ahli majlis tersebut

“Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin meremehkan kenyataan saya bahawa PH telah membuat keputusan untuk tidak menjalankan kerjasama dengan PN.

“Katanya itu pendapat peribadi saya, bukan keputusan PH. Yang jadi Timbalan Presiden PKR duduk dalam Majlis Presiden PH adalah saya. Yang tahu apa keputusan PH dia.

“Ada beberapa perangai pimpinan-pimpinan dalam PN yang masih belum dicuci sepenuhnya walaupun mereka mahu memimpin negara,” sindir Rafizi.

Beliau berkata, pemimpin PN pakar dalam aspek rundingan ‘pintu belakang’ dan tidak menghormati pendirian rasmi parti lain.

Kumpulan itu, katanya, percaya mereka boleh berurusan dengan watak-watak tertentu yang mempunyai berkepentingan yang sama.

“Mereka bangga dengan budaya runding belakang yang membelakangi parti-parti lain ini kerana budaya inilah yang membolehkan Muhyiddin jadi Perdana Menteri.

“Mereka tidak hormat soal mandat, soal pilihan rakyat atau pilihan akar umbi parti. Mereka tidak hormat demokrasi.

“Keputusan untuk memberi noktah kepada sebarang perbincangan bekerjasama dengan PN ini ialah keputusan Majlis Presiden PH yang terakhir,” ujar Rafizi.

Beliau turut menyindir Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Katanya, watak-watak tersebut telah mengundang kekecewaan rakyat terhadap PH.

“Azmin Ali gagal sebagai menteri ekonomi, sumbangan terbesar Redzuan Yusof hanyalah idea kereta terbang. Sehingga sekarang PH dipersalahkan atas kebodohan idea watak-watak PPBM yang kini berada dalam PN.

“Seorang lagi watak PN, Rina Harun dilantik menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar yang mengawal agensi-agensi penting yang sepatutnya boleh mengubah kehidupan rakyat di desa.

“Sehingga sekarang, tidak ada sebarang idea baru yang pernah diketengahkan Rina Harun. Yang hanya berubah penampilan Rina Harun, rakyat desa hidupnya sama,” kata Rafizi.

Rafizi menegaskan, PH tidak bodoh untuk menerima PN kerana beliau percaya kerjasama itu hanya untuk kepentingan peribadi dan kuasa pemimpin PN dan bukannya untuk kepentingan negara.

Media sebelum ini melaporkan, Muhyiddin menyifatkan kenyataan Rafizi menolak sebarang bentuk kerjasama dengan gabungan itu sebagai ‘sekadar pandangan peribadi’.

Beliau yang juga presiden Bersatu berkata, gesaan supaya semua pimpinan parti pembangkang mempertimbang membuka semula pintu rundingan berdasarkan kepada kebimbangan disuarakan rakyat ketika ini, jauh sekali demi kepentingan politik gabungan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast