Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melambai tangan ke arah penjawat awam yang hadir pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 (MAPPA XVIII) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 30 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pelaksanaan beberapa inisiatif baharu yang akan dinikmati oleh penjawat awam.

Antaranya, Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM700 dibayar kepada 1.3 juta penjawat awam dalam kumpulan Gred 56 dan ke bawah, di samping sejuta pesara kerajaan menikmati bantuan sebanyak RM350.

Menurut beliau, semua itu melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan berjumlah RM1.3 bilion.

Selain itu, katanya pembiayaan insuran kenderaan melalui myezycover.com bagi kemudahan 1.6 juta penjawat awam, yang mana dengan inisiatif berkenaan, pembaharuan polisi insurans kenderaan dan cukai jalan boleh dibuat tanpa bayaran pendahuluan dan faedah.

“Kerajaan juga melaksanakan Inisiatif Perlindungan Kemalangan Diri sehingga RM100,000 untuk manfaat 40,000 peminjam baharu Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

“Inisiatif lain ialah penurunan kadar pembiayaan skim pembiayaan komputer dan telefon pintar untuk penjawat awam daripada empat peratus kepada dua peratus.

“Manakala penjawat awam yang kematian suami atau isteri untuk bekerja dari rumah (BDR) sebaik sahaja tempoh tiga hari cuti tanpa rekod tamat dibenarkan mengikut tempoh yang bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 (MAPPA XVIII) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan juga sentiasa mendengar keluh kesah anggota perkhidmatan awam dan bersetuju agar Jabatan Perkhidmatan Awam menyegerakan kajian ke atas Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dengan mengambil kira keseluruhan aspek modal insan merangkumi saran dan perkhidmatan agar relevan dengan keadaan semasa serta kemampuan kewangan Kerajaan.

Katanya, sementara menanti kajian Sistem Saraan yang baharu itu selesai, bersesuaian dengan kedudukan dan kewangan negara pada masa ini, beliau mengumumkan kenaikan kadar maksimum jumlah cuti rehat yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai (GCR) daripada 160 hari ke 180 hari.

“Kerajaan memahami dengan beban tugas yang semakin besar dan mencabar, ramai anggota perkhidmatan awam yang tidak dapat menghabiskan cuti rehat tahunan mereka.

“Dengan kenaikan kadar maksimum GCR ini, membolehkan cuti tersebut disimpan bagi tujuan award wang tunai di masa persaraan sekaligus meningkatkan tunai di tangan pada hari persaraan kelak,” katanya.

Beliau turut mengumumkan inisiatif Tambahan Kadar Cuti Rehat Khas sebanyak lima hari menjadikan jumlah Cuti Rehat Khas 15 hari setahun kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun.

Katanya, Tambahan Cuti Rehat Khas itu akan memberi manfaat kepada lebih kurang 500,000 guru bagi urusan yang mustahak dan kecemasan yang dibenarkan serta memberi peluang guru-guru mengumpul jumlah GCR yang lebih tinggi.

Inisiatif lain ialah yang turut memberi perkhabaran gembira kepada penjawat awam ialah perluasan tafsiran ahli keluarga bagi kemudahan Cuti Tanpa Rekod urusan kematian ahli keluarga terdekat.

Jelas beliau, kalau sebelum ini cuti tanpa rekod bagi urusan kematian hanya tertakluk kepada kematian suami atau isteri, ibu kandung dan ibu mertua, bapa kandung dan bapa mertua serta anak sahaja, penambahbaikan tafsiran ahli keluarga diperluas kepada kematian yang melibatkan adik-beradik, nenek dan datuk bagi anggota perkhidmatan awam.

Bagi penambahbaikan pemberian pergerakan gaji tahunan kepada pegawai yang telah mencapai gaji maksimum, katanya, kerajaan bersetuju menambah baik Kadar Tetap tiga peratus semasa yang diterima oleh pegawai yang mencapai gaji maksimum kepada suatu kadar baharu dan diseragamkan mengikut gred bagi semua klasifikasi perkhidmatan berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Kata beliau, Jabatan Perkhidmatan Awam akan mengeluarkan Pekeliling berkaitan bagi penjelasan terperinci bagi perkara ini.

Menurutnya, kerajaan juga bersetuju untuk inisitif Bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tambahan khas sebanyak RM100 untuk penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 dan akan dibayar mulai Januari tahun depan.

Seramai 1.28 juta penjawat awam akan menerima manfaat ini dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.5 bilion.

“Sebagai contoh, sebelum ini kadar KGT bagi gred 11 adalah RM80, maka pada tahun 2023, mereka akan menerima kadar KGT asas sebanyak RM80 dan tambahan khas sebanyak RM100 menjadikan jumlah KGT diterima pada tahun 2023 adalah sebanyak RM180.

“Bagi Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2023 akan dibayar kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah berjumlah RM700 dan RM350 bagi pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen yang akan diberi pada Januari tahun depan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam yang sentiasa memastikan jentera kerajaan bergerak dengan berkesan, melaksanakan dasar dan menjayakan setiap aspirasi kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette