masalah sakit sendi lutut biasanya menyerang individu berusia terutama warga emas namun hakikatnya ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia muda atau tua

SEJUJURNYA masalah sakit sendi lutut biasanya menyerang individu berusia terutama warga emas namun hakikatnya ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia muda atau tua.

Mengulas lanjut berhubung isu ini, Ketua Fisioterapi Hospital Pakar KPJ Perlis, Nurin Syafiqah Kamis berkata, lutut merupakan sendi penting dalam tubuh badan yang berfungsi menampung berat badan seseorang.

Nurin Syafiqah

“Sementara itu, tulang rawan memainkan peranan penyerap hentakan sendi lutut. Masalah sakit sendi lutut (knee osteoarthritis) berlaku kerana proses hakisan atau penipisan tulang rawan yang meliputi sendi lutut.

“Bagi golongan muda, sakit sendi lutut mungkin terjadi kerana faktor kemalangan atau kecederaan lutut yang mencederakan ligamen-ligamen ataupun miniskus yang seterusnya menjurus kepada hakisan tulang rawan.

“Dalam pada itu, bagi golongan warga emas pula sakit ini berlaku kerana kekurangan cecair pelincir di dalam lutut yang menyebabkan penghausan pada tulang rawan. Hakisan tulang rawan lutut boleh menyebabkan kesakitan dan pergerakan sendi lutut menjadi semakin terhad,” katanya baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Nurin memberitahu, terdapat beberapa faktor utama menyebabkan berlakunya knee osteoarthritis seperti jantina iaitu kaum wanita lebih cenderung untuk mengalaminya.

“Faktor usia turut memainkan peranan terutama individu yang berusia lebih 50 tahun, genetik, berat badan berlebihan yang memberikan tekanan kepada tulang rawan, trauma iaitu kemalangan yang terjadi pada mana-mana struktur di dalam lutut selain aktiviti seharian seperti berjalan atau berdiri terlalu lama.

“Sebaiknya jika seseorang disahkan mengalami sakit sendi lutut sila dapatkan rawatan doktor terlebih dahulu bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi, makan ubat yang diberikan oleh doktor seperti ubat tahan sakit atau pun anti radang, rawatan suntikan steroid ataupun pelincir.

“Bagi rawatan fisioterapi pula, rawatan menggunakan modaliti seperti ultrasound (ultrabunyi) dan alat stimulasi elektrik iaitu TENS (transcutaneous electrical nerve stimulation), penggunaan haba atau ‘ice compression’ serta senaman bagi meregang dan menguatkan otot.

“Selain itu, pembedahan penggantian sendi lutut yang dinamakan ‘total knee replacement’ dilakukan untuk menggantikan tulang rawan yang rosak dengan implant yang baru dan sekiranya sakit sendi lutut disebabkan pertambahan berat badan seseorang disarankan untuk menurunkan berat badan sehingga mencapai indeks jisim tubuh (BMI) yang ideal,” katanya.

Dalam pada itu, Nurin menambah terdapat beberapa jenis senaman ringan yang dapat dipraktikkan untuk mengurangkan sakit lutut seperti senaman untuk menguatkan otot quadriceps, inner range quard (IRQ) dan straight leg raise (SLR).

“Hakikatnya senaman bukan semata-mata untuk kecergasan tubuh badan tetapi menguatkan dan memastikan keanjalan otot-otot bagi mengurangkan risiko berlakunya kecederaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast