PUTRAJAYA – Tan Sri Annuar Musa mengakui menjadi saksi kepada persefahaman yang dibuat antara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, persefahaman antara Perdana Menteri kelapan dan kesembilan itu adalah normal.
“Yang saya boleh sebutkan secara umum, adanya satu persefahaman, bukan perjanjian, hanyalah persefahaman antara Perdana Menteri kelapan yang akan melepaskan jawatan dengan Perdana Menteri yang menggantikannya.
”Pada saya ia adalah normal. Kalau kita tukar jawatan di jabatan pun ada penyerahan nota. Ini pun serupa juga,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), hari ini.
Menurut Annuar, persefahaman itu pun adalah terhad kepada urusan-urusan pembentukan kerajaan.
”Saya tengok spekulasi macam-macam sampai soal pelantikan Peguam Negara, itu saya sahkan tak betul.
“Ianya hanya terhad kepada perkara utama terutama perbentikan Kabinet dan hal-hal berkaitan pilihan raya sahaja.
“Tiada ada lantik orang tu, pecat orang ini. Itu semua tidak benar,” jelasnya lagi yang mengulas pendedahan Datuk Lokman Adam tentang kandungan perjanjian antara Muhyiddin dan Ismail Sabri.
Antara yang didakwa oleh bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu ialah Ismail Sabri tidak akan menukar Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, serta mengekalkan kedudukan Menteri dan Timbalan Menteri dna juga Pengerusi Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.
Malah Lokman juga menyebut perjanjian kesembilan antara Muhyiddin dan Ismail Sabri adalah untuk menyegerakan kes Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Lokman juga dalam video berdurasi empat minit itu juga menyebut bahawa perjanjian itu turut menjadikan Annuar sebagai saksi antara mereka berdua. – MalaysiaGazette