Sebahagian perwakilan Dewan Pemuda Pas yang hadir muktamar sayap Pas itu hari ini.

ALOR SETAR – Terdapat usaha yang dilakukan oleh musuh Islam untuk menghapuskan kesedaran berpolitik dalam kalangan Melayu Islam khususnya generasi muda.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ketika ini dapat disaksikan kejayaan perancangan jahat musuh Melayu Islam yang cuba menyekat pengaruh Islam daripada meresapi segenap aspek kehidupan manusia.

“Kempen politik kotor dimainkan untuk mewujudkan perasaan fobia kepada politik.

“Pada masa yang sama, mereka cuba mempromosi ajaran dan ideologi yang bertentangan dengan ajaran Islam.

“Kononnya itulah budaya yang perlu diikuti untuk mendapat restu dunia sama ada dari timur mahupun barat,” katannya dalam Perutusan Presiden Pas sempena Muktamar Pemuda Pas Malaysia ke-63.

Sejumlah 792 perwakilan dari 198 bahagian menghadiri muktamar yang bermula hari ini.

Abdul Hadi berkata, seruan sesat tersebut menyerang pemikiran generasi muda Melayu Islam secara halus melalui media yang ditaja sepenuhnya untuk menjadi alat propaganda.

Media berkenaan katanya, menyusup masuk ke dalam rumah-rumah umat Islam tanpa sebarang sekatan dengan manipulasi konsep kebebasan bersuara.

“Sehinggakan anak-anak muda didoktrin tanpa sedar untuk membenci atau muak dengan politik dengan politik dan menganggapnya sebagai urusan yang terpisah daripada agama,” kata Abdul Hadi.

Tambah beliau, anak muda lebih memilih untuk menjadi pemerhati berbanding terlibat secara langsung dengan parti politik.

Abdul Hadi berkata, suara anak muda sangat diperlukan untuk melakukan tajdid dan islah dalam pentabiran negara.

Menurut beliau, sejarah Islam pernah beberapa kali menyaksikan berlakunya kebangkitan Islam yang dipimpin oleh golongan muda dan dikuatkan dengan hikmah dan pengalaman golongan tuan.

Anak muda kata Abdul Hadi, perlu sedar bahawa mereka generasi yang akan menggantikan pemimpin-pemimpin yang sedia ada pada masa akan datang.

“Jadi apa yang harus dilakukan oleh anak muda ini ialah memantapkan ilmu dan kefahaman, di samping melibatkan diri dalam memilih dan menentukan pemimpin yang terbaik untuk mentadbir negara ke arah kesejahteraan,” katanya.

Sementara itu Abdul Hadi meminta supaya Pemuda Pas dapat menghayati peranan mereka yang sebenar khususnya dalam menggerakkan agenda parti bagi menjuarai isu-isu anak muda.

Pemuda Pas juga perlu meletakkan parti itu sebagai pilihan terbaik untuk memerintah.

“Pemuda Pas haruskan menjadi barisan hadapan yang akan membenteng jemaah daripada diterobos masuk oleh musuh Islam yang sentiasa mencari peluang untuk melemahkan kita dari segenap arah,” katanya.-MalaysiaGazette