ALOR SETAR – Pemuda Pas perlu menguasai lima platform media sosial termasuk WhatsApp, Facebook, Instagram, TikTok dan Twitter dalam menarik sokongan pengundi muda untuk memenangkan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia bagi mengetengahkan imej calon, sosial parti, isu dan dasar Pas bebas rasuah dan berintegriti yang boleh mempengaruhi keputusan anak muda untuk memberikan undi dalam PRU15.
“Platform-platform ini wajib dikuasai oleh pemuda-pemuda Pas untuk menyampaikan dakwah dan naratif positif Pas dalam berkerajaan.
“Pemuda Pas disarankan untuk mendekati mereka, rakan-rakan kita di luar sana. Kita perlu giatkan ‘engagement’, dengari pandangan mereka dan pastikan mereka memperolehi informasi yang benar dan tepat.
“Imej calon yang menjadi keutamaan anak muda adalah keikhlasan calon,keberanian menjuarai isu rakyat serta mesra rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Muktamar DPPM ke-63 di Pusat Konvensyen Raia Hotel, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, PRU15 kali ini sangat mengujakan susulan pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan Pendaftaran Pemilih Secara Automatik (PPSA) telah dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya pada 15 Disember 2021.
Jelasnya, keputusan ini menyebabkan berlakunya peningkatan jumlah pengundi baharu sebanyak 8.5 juta dari jumlah pengundi sedia ada yang mengundi pada PRU14.
“Berdasarkan kajian persepsi dan tingkah laku anak muda, majoriti anak muda menyedari tanggungjawab mereka sebagai rakyat untuk memastikan pemilihan kepimpinan baru kerajaan yang terbaik.
“Lebih dari 85 peratus responden anak muda sangat teruja untuk mengundi dalam pilihan raya akan datang walaupun hampir sebahagian besar dari mereka tidak berminat membincangkan isu-isu politik,” katanya.
“Mereka adalah ‘silent reader’ dan ‘silent observer’. Walau bagaimanapun,lebih dari 40 peratus responden anak muda masih belum mahu menetapkan pendirian politik mereka,” katanya.
Sementara itu, imej sosial parti yang menjadi pilihan pengundi muda kerana mereka mengutamakan soal integriti, memelihara hak asasi rakyat serta parti yang mampu memelihara kedaulatan negara.
“Bagi faktor isu dan dasar, anak muda cenderung memilih parti yang mampu menyelesaikan isu rasuah serta berusaha menambahbaik perkhidmatan kesihatan dan pendidikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette