KUALA LUMPUR – Tangis Sendu Dalam Kegembiraan.
Lain benar bunyi ayat pada pemidang sambutan Ambang Merdeka Kali Ke-65 yang disambut penduduk Taman Kencana, Ampang baru-baru ini.
Ayat itu bagi menggambarkan keluh kesah majoriti penduduk apabila kawasan taman mereka berkemungkinan besar akan hilang kerana dijadikan Transit Aliran Massa 3 (MRT3) tidak lama lagi.
“Sambutan kali ini mungkin yang terakhir kepada kami jika taman ini dijadikan tapak jajaran baharu MRT3 namun program tetap diadakan bagi mendidik generasi muda menghargai kemerdekaan negara,” kata Pengerusi Surau Nur Iman, Suhaimi Arshad.
Pada majlis yang diadakan di Dewan Komuniti Taman Kencana itu, penduduk di taman berkenaan seperti biasa menyambut ulang tahun kemerdekaan walaupun secara kecil-kecilan.
Namun kali ini kegembiraan tidak seperti biasa kerana memikirkan kemungkinan lebih 90 buah rumah di kawasan mereka mungkin menjadi ‘mangsa’ pembangunan.
Bagaimanapun, menurut Suhaimi, aktiviti seperti pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, persembahan karaoke dan hadiah cabutan bertuah dan sajian makanan tetap diadakan seperti biasa.
Sebelum itu, majoriti penduduk menubuhkan jawatankuasa khas membantah cadangan pembinaan jajaran baharu MRT3 melibatkan kawasan Taman Kencana. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Exco Selangor terkejut cadangan jajaran baharu MRT3 libatkan Taman Kencana