PRU-15 pilhan raya
Parti manakah yang bakal memenangi PRU-15? - Gambar hiasan.

IKLIM politik Malaysia selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sememangnya sentiasa panas dan penuh hiruk-pikuk.

Banyak berlaku perkara di luar jangka. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas 22 bulan berkuasa diikuti Perikatan Nasional (PN) selama 17 bulan dan kini kerajaan campuran Barisan Nasional (BN), PN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Tiada siapa pada mulanya menjangka kawan bertukar menjadi lawan dan sebaliknya.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meninggalkan PH untuk membentuk PN bersama Pas, Gerakan, Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

UMNO, Bersatu dan Pas yang bertembung pada PRU-14 bersama-sama membentuk kerajaan negeri di Sabah, Kedah dan Perak namun ketiga-tiga parti Melayu terbesar itu bertembung pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor. Pada masa yang sama, hubungan UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) masih belum terputus.

Selain BN, PH dan PN, kini wujud pula gabungan politik baharu yang dinamakan Gerakan Tanah Air (GTA) yang dianggotai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

Sejauh mana GTA mampu menarik sokongan pengundi, sukar untuk dijangka. Gerakan itu amat bergantung kepada aura dan kekuatan Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang masih lagi mempunyai pengaruh dalam dunia politik tanah air.

Melihat kepada realiti semasa, pertembungan parti-parti politik pada PRU-15 dijangka lebih sengit berbanding semua PRU sebelum ini. Sebahagian besar kerusi bakal menyaksikan pertandingan banyak penjuru, terutamanya di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Seperti yang dijelaskan kepada MalaysiaGazette baru-baru ini, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki membayangkan mengenai tiga kategori kerjasama politik yang mungkin berlaku pada PRU-15.

Kategori pertama melibatkan kerjasama gabungan politik. Misalnya, antara BN dan PN atau PH dan PN.

Bagaimanapun, kerjasama sedemikian agak sukar untuk direalisasikan berikutan sikap UMNO dan PH yang keras menolak Bersatu yang merupakan tunjang PN.

Kategori kedua pula, tambah beliau, lebih berbentuk pakatan pilihan raya. Parti-parti politik secara amnya tidak bergabung namun mempunyai persefahaman untuk mengelakkan pertembungan sesama mereka di sejumlah besar kerusi.

Pakatan sebegini dipraktikkan dalam rundingan melibatkan 27 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia antara UMNO dan Pas.

Walaupun kedua-dua parti itu bernaung di bawah payung politik berbeza, kedua-duanya bersedia untuk berunding bagi mengelakkan pertembungan di kerusi-kerusi terbabit sekali gus menghalang PH daripada kembali berkuasa.

Kategori ketiga seperti yang dijelaskan Mohd. Zuhdi lebih berbentuk gabungan longgar di mana parti-parti yang terlibat tidak berkongsi manifesto dan lambang yang sama.

Persefahaman yang wujud antara PH dan parti-parti pembangkang yang lain seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menepati kategori ini.

zuhdi marzuki
Mohd. Zuhdi Marzuki

Ringkasnya, macam-macam boleh jadi pada PRU-15. Sikap pengundi juga semakin sukar dijangka lebih-lebih lagi generasi pengundi muda berumur 18 hingga 21 tahun yang meningkat secara mendadak ekoran pelaksanaan dasar Undi18.

Sebahagian besar pengundi muda tidak menyertai parti politik sekali gus menjadikan mereka bebas membuat pilihan pada PRU-15 kelak.

Parti-parti politik juga perlu menggunakan strategi baharu bagi menarik sokongan pengundi yang ragamnya semakin kompleks dan rencam.

Mereka tidak mudah lagi digula-gulakan dengan janji kosong seperti harga minyak turun RM1.50 seliter. Pengundi-pengundi semakin bijak menilai kerana mereka pernah melalui pengalaman hidup di bawah pemerintahan BN, PH dan PN.

Begitu juga dengan pendekatan berkempen. Walaupun media sosial agak berkesan untuk menyampaikan maklumat khususnya kepada pengundi muda, jentera parti masih perlu turun padang bersemuka dengan pengundi.

Dalam hal ini, parti yang mempunyai akar umbi yang ramai mempunyai kelebihan.

Isu-isu yang bakal dijadikan modal berkempen dijangka lebih panas. Hampir semua parti politik pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan dan masing-masing ada kelemahan yang boleh dimanipulasi pihak lawan.

Sama ada bergabung atau bergerak secara solo, tiada parti politik yang dijangka boleh menang dengan selesa pada PRU-15. Tidak mustahil situasi ‘Parlimen tergantung’ boleh berlaku dan menyebabkan pakatan pasca pilihan raya terpaksa diadakan bagi membolehkan pembentukan kerajaan baharu.

Jika PRU-14 dikatakan sebagai ‘ibu segala pilihan raya’, PRU-15 yang pastinya lebih sengit dah lebih panas boleh dianggap sebagai ‘bapa segala pilihan raya’. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Selagi ada manusia yang menyokong penjenayah . Selagi itulah parti bersih tidak mendapat kemenangan . Puncanya rakyat buta menilai kebenaran dan selesa hidup dalam dakapan propaganda dan cara hidup songsang . Sekolah tidak berfungsi mendidik rakyat untok menjadi manusia .

Comments are closed.