Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin ketika berucap pada majlis perasmian Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Malaysia ke-61 di Dewan Serbaguna Guar Chempedak, Kedah. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 02 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Bukan semua pemimpin UMNO menolak ‘perpaduan ummah’ dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin mendakwa hanya terdapat sekumpulan pemimpin UMNO yang menolak kerjasama dengan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin tersebut

Kata beliau, Pas mendoakan kumpulan tersebut supaya dibukakan pintu hati untuk bersama-sama dalam perpaduan ummah.

“Sekarang ini UMNO dan Bersatu berkelahi dua-dua Islam. Kita buka pintu, kita ajak, kita tak tutup. UMNO tak mahu juga.

“Tapi kita tengok siapa yang tak mahu, kumpulan dalam UMNO yang mana tak mahu? Walaupun dia pakai baju merah naik pi bertempik dalam dewan, betulkah?

“Pas berharap sebahagianya di buka pintu hati mereka dan balik kepada agenda perpaduan ummah,” kata Hashim pada sidang media hari ini.

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin ketika menyampaikan Anugerah Tokoh Dewan Ulamak PAS Dewan Pusat pada majlis perasmian Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Malaysia ke-61 di Dewan Serbaguna Guar Chempedak, Kedah. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 02 SEPTEMBER 2022.

Beliau sebelum itu menyampaikan ucapan perasmian Muktamar Dewan Ulamak Pas ke-61 di sini hari ini.

Sementara itu, Hashim menolak dakwaan Pas terdesak untuk menang pilihan raya sehingga sanggup meminta UMNO untuk meneruskan Muafakat Nasional walaupun parti itu tidak mahu sekiranya Pas kekal kerjasama dengan Bersatu.

Mursyidul Am Pas itu berkata, parti yang dianggotainya telah menempuh pelbagai cabaran sepanjang penubuhannya dan tidak pernah terdesak kerana pihaknya berlapang dada sama ada ketika menang atau kalah.

“Nak kata terdesak, ertinya kita ini tak boleh hidup tanpa dia sedangkan kita sudah 70 tahun, sampai sekarang macam-macam kita lalui tekanan semua.

“Bertanding solo, bertanding pakat pun ada, kita lalui semua, ada kamu jangka Pas terdesak sekarang?

“Pas tak terdesak, sebab kita ada tempat bergantung. Pandu al-Quran, pandu sunnah, sejarah maka kita rasa tenang, lapang. Kalah pun tak apa, menang lagi bagus,” katanya.

Hashim berkata, Pas berbeza dengan parti lain kerana berjuang merupakan satu tanggungjawang kepada ahli-ahli parti itu.

Apa juga hasil daripada perjuangan, kalah atau menang Pas tetap anggap tetap sebagai satu kejayaan, katanya.-MalaysiaGazette