Ismail Sabri Yaakob

ALOR SETAR – Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA)  berjaya menarik pelaburan berjumlah RM37.21 bilion setakat ini melalui pelaksanaan pelbagai projek strategik berimpak tinggi yang seterusnya memberi manfaat kepada negeri Kedah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menerusi kejayaan itu lebih 36,717 peluang pekerjaan baharu berjaya diwujudkan di Kedah.

“Kerajaan melalui NCIA, terus komited memacu pembangunan sosioekonomi di Wilayah Utara,” katanya ketika berucap merasmikan program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Kedah di Stadium Darul Aman di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan projek strategik berimpak tinggi seperti Kedah Rubber City di Padang Terap akan turut dapat melonjakkan nilai dagangan dan menjadikan kawasan tersebut sebagai bandar sempadan utama negara.

Menurutnya, projek pembangunan seperti Intergrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Janakuasa Pulau Bunting di Yan membuktikan bahawa Kedah tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan pusat.

“Sesungguhnya menjadi agenda kerajaan untuk membangunkan seluruh pelusuk negara termasuk di Kedah, bagi memastikan tiada ahli Keluarga Malaysia yang terpingggir daripada nikmat pembangunan negara,” katanya.

Jelajah AKM Negeri Kedah itu yang berlangsung selama tiga hari mulai hari ini adalah edisi kesembilan selepas Johor, Perlis, Sabah, Terengganu, Perak, Kelantan, Sarawak dan Selangor.  – Bernama