MELAKA – Seorang pembantu jualan didenda RM55,000 oleh Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, di sini hari ini kerana memiliki dan menyimpan 4,277 pasang kasut tiruan berjenama,
Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Loke Yee Fei, 36, mengaku bersalah sejurus kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, duda empat anak itu didapati memiliki dan menyimpan untuk tujuan jualan sebanyak 4,277 kasut tiruan berjenama di sebuah premis bernombor 14, Jalan Nangka 3, Taman Rumpun Bahagia di sini pada pukul 4.30 petang, 31 Mac lalu.
Tertuduh yang juga peniaga atas talian didakwa mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Hakim turut memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya KPDNHEP Melaka, Mohamad Ashraf Nashruddin Ahmad Nazari manakala tertuduh diwakili peguam Kent Tan Chow Teng. – MalaysiaGazette