Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin dan Ketua Dewan Ulama Pas Senator Datuk Ahmad Yahaya ketika hadir ke majlis perasmian Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Malaysia ke-61 di Dewan Serbaguna Guar Chempedak, Kedah. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 02 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Dewan Ulama Pas mensasarkan kemenangan majoriti dua pertiga dua pertiga Ahli Parlimen yang dikuasai oleh Melayu-Islam.

Ketua Dewan Ulama Pas Senator Datuk Ahmad Yahaya berkata, sasaran itu merupakan satu tanda aras yang mesti dicapai dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Ahmad, sasaran berkenaan berdasarkan strategi satu lawan satu berhadapan dengan Pakatan Harapan pada pilihan raya.

“Kita perlu terus mengekalkan mandat di negeri-negeri teras seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu selain mendapatkan lebih banyak kerusi di negeri-negeri lain.

“Usaha bagi mencapai sasaran minimum ini memerlukan gerak kerja yang berlipat kali ganda daripada semua pihak khususnya Dewan Ulamak sendiri.

“Kita wajar menerajui perjuangan ini dengan sebaik mungkin bagi mencapai kemenangan yang diimpikan,” kata Ahmad.

Dalam ucaptama Muktamar Tahunan Dewan Ulamak Pas Pusat kali ke-61 beliau berkata, masyarakat Melayu-Islam telah berhadapan dengan pengalaman perit selama 22 bulan di bawah pemerintahan PH.

Beliau menegaskan kesilapan sama tidak boleh diulang dalam pilihan raya akan datang.

“Kepentingan institusi diraja, kedudukan Melayu-Islam serta tiang seri tatanegara mendorong kepada suatu desakan dibuat secara besar-besaran bagi mewajahkan reaksi balas rakyat mendapat perhatian Kerajaan.

“Sudah tentu kita tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama dalam Pilihanraya Umum kali ini,” katanya.

Tambah beliau, Pas tidak lagi boleh mencapai kemenangan secara bersendirian.

Sebaliknya, prinsip tolong-menolong pada perkara kebaikan dan dan saling mencegah kepada perkara kemungkaran perlu diteruskan dalam menghadapi situasi politik.

“Meskipun tidak mudah untuk membawa gelombang penyatuan ummah ini ke tengah masyarakat yang tidak memahami perjuangan kita, tetapi itulah sebahagian daripada resepi asas yang mesti diadun dengan sabar dan ribat.

“Inilah perintah daripada-Nya dan kita perlu meyakini bahawa Allah SWT sentiasa bersama Jemaah ini insya-Allah,” katanya.

Katanya, Pas telah menggagaskan konsep penyatuan ummah sebagai teras utama perjuangannya.

Gagasan itu perlu diterima kerana penyatuan ummah merupakan pendekatan terbaik demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat dan negara mendepani PRU ke-15.-MalaysiaGazette