Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berjalan masuk untuk mengenai memberi keterangan susulan dakwaan yang mengaitkan Abd Latiff dengan isu berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS) di di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, , 03 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Rafizi Ramli tiba di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul jam 3 petang tadi bagi merakamkan keterangan.

Timbalan Presiden PKR itu dipanggil berhubung dakwaannya mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS) membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Rafizi berkata, isu siapa Zainab Mohd Salleh akan terbongkar sendiri selepas siasatan daripada pihak berkuasa.

“Soal rumahtangga Abd Latiff kita tak mahu campur sebab itu saya harap pihak berkuasa kena imbangi sementara laporan daripada Abd Latiff yang hanya mahu mengecilkan isu ini samada Zainab itu isterinya atau tidak.

“Soal Zainab itu akan terjawab sendiri, apa yang saya boleh katanya tentang apa yang ditulis dalam laporan forensik audit jelas kita telah membuat siasatan latar belakang.

“Saya akan melalui proses ini dan ini bukan masalah,” katanya ketika ditemui media di hadapan IPD Sentul, hari ini.

Dalam pada itu, Rafizi berkata isu yang ditengahkan adalah mengenai LCS dan bukan individu bernama Zainab Mohd Salleh, dan ia lebih kepada kehilangan RM1 bilion dalam projek berkenaan.

“Pada saya ada dua laporan yang selari dan kita harap pihak berkuasa mengambil tindakan dengan bagaimana isu ini ditangani selepas laporan polis daripada Abd Latiff.

“Isunya ialah bukan siapa isteri Abd Latiff, isunya lebih RM1 bilion telah disahkan hilang dan hasil siasatan forensik audit bukan khabar angin ataupun dokumen daripada saya. Ia adalah dokumen kerajaan yang telah lalui Kabinet.

“Saya berharap proses ini adalah permulaan kepada siasatan mendalam oleh pihak berkuasa bukan sahaja PDRM tapi jugak SPRM kerana kita telah melalui proses ini semasa 1MDB dan SRC,” katanya.

Rafizi sebelum ini mendakwa Abdul Latiff mempunyai isteri kedua bernama Zainab Mohd Salleh yang mendapat kontrak Kementerian Pertahanan bernilai jutaan ringgit untuk projek LCS sedangkan menteri terbabit sudah menafikan hubungannya dengan wanita itu.

Terdahulu Rafizi berkata, beliau dihubungi pegawai polis daripada IPD Sentul setelah pihaknya menerima satu laporan polis oleh pegawai tugas-tugas khas Abd Latiff.

“Pada mulanya kita bersetuju supaya keterangan saya diambil pada Selasa depan, tapi atas permintaan untuk saya hadir hari ini,” katanya dengan kehadiran peguam beliau, Hadi Zulkarnain Zulkafli.

Timbalan Presiden PKR yang memasuki IPD Sentul jam 3.10 petang keluar jam 4.45 petang tadi.

Rafizi berkata, beliau memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis yang mengambil masa satu jam setengah merakam keterangannya.

“Telefon bimbit saya dirampas. Biasa telefon bimbit akan dirampas apabila siasatan dibawah Akta Komunikasi Multimedia 1998,” katanya selepas keluar daripada perkarangan IPD Sentul.

Sementara itu, Hadi Zulkarnain berkata, Rafizi disiasat dibawah dua akta iaitu Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 iaitu menyebarkan kenyataan jelik. – MalaysiaGazette