Jamil Khir Baharom

ALOR SETAR – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mendakwa Pas tidak menjemput UMNO Negeri menghadiri Muktamar Tahunan Pas ke-68 yang sedang berlangsung di sini.

Menurut Jamil Khir, kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa parti itu telah menghantar jemputan kepada kepimpinan UMNO sebagai mengelirukan.

“Kenyataan ini sebenarnya adalah tidak benar dan dikhuatiri akan mengelirukan pembaca di luar sana.

“Untuk makluman semua, pihak UMNO Negeri Kedah ingin menegaskan bahawa tiada sebarang undangan mahupun jemputan yang diterima daripada pihak Setiausaha Agung Pas Pusat mahupun mana-mana wakil Pas sepertimana yang didakwa oleh Setiausaha Agung Pas untuk menghadiri Majlis Muktamar Tahunan Pas,” kata Jamir Khir dalam satu kenyataan.

Jamir Khir berkata, beliau kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Takiyuddin hari ini.

Menurut beliau, kenyataan yang dikeluarkan oleh Takiyuddin tidak benar.

“Adalah penting bagi pihak UMNO Negeri Kedah untuk menjelaskan bahawa situasi ini dengan sejelas-jelasnya supaya tiada persepsi buruk yang tidak diingini wujud kelak.

“UMNO Negeri Kedah juga ingin menzahirkan rasa kecewa terhadap kenyataan tidak benar yang dikeluarkan oleh pihak Setiausaha Agung Pas Pusat tersebut.

“Semoga penjelasan ini dapat mengelakkan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul kelak di kalangan para pembaca,” kata Jamir Khir.

Takiyuddin hari ini memberitahu perwakilan Pas bahawa beliau telah menghantar jemputan kepada Ahli Majlis Tertinggi UMNO untuk menghadiri muktamar tahunan parti itu.

Beliau turut menghantar jemputan kepada presiden dan pemimpin MCA dan MIC tetapi mereka tidak menerima jemputan tersebut.

Beliau menjawab salah seorang perwakilan yang mempersoalkan ketidak hadiran pemimpin parti-parti terbabit ke Muktamar Tahunan Pas ke-68 yang berlangsung ke Kompleks Pas Kedah selama dua hari. – MalaysiaGazette