Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berucap ketika hadir ke pembukaan Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 03 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Sesiapa yang tidak memelihara integriti pasti akan melompat sendiri kerana kepanasan walaupun berada dalam
bilik berhawa dingin.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata demikian terhadap ahli politik yang melompat parti kerana tidak mempunyai intergriti.

Katanya, Pas lebih percaya kepada konsep baiah kepada pemimpin utama dan calon pilihan raya parti itu berbanding Rang Undang-Undang berkaitan lompat parti yang diluluskan baru-baru ini.

“Walaupun sifat iman dan taqwa daripada hidayah itu terletak dalam hati manusia, namun Islam menetapkan bahawa tiada siapa pun yang dapat mengatasi hukumnya sekali-kali.

“Perkara ini ditegaskan dalam Perlembagaan Pas bahawa hukum Allah dan Rasul-Nya adalah sumber tertinggi yang mewajibkan kepada para pemimpin utama dan calon pilihan raya untuk melafazkan sumpah dan baiah, sehingga mengatasi segala undang-undang bagi memelihara integriti.

“Langkah ini lebih berkesan daripada undang-undang lompat parti yang baru sahaja diperkenalkan. Sepatutnya Pas diberi lebih kepercayaan kerana adanya ikatan baiah yang lebih hebat daripada undang-undang kini yang luput tarikhnya,” kata Abdul Hadi.

Antara perwakilan yang hadir ke pembukaan Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 03 SEPTEMBER 2022.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan Pas ke-68 yang berlangsung di Kompleks Pas Kedah di sini hari ini.

Turut hadir adalah Pengerusi Perikatan Nasional yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dan Presiden Gerakan Senator, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Abdul Hadi berkata, pelaksanaan baiah dibuktikan berkesan di negeri-negeri yang diperintah di Kelantan, Terengganu dan Kedah, dan melalui beberapa kementerian yang ditugaskan walaupun dengan bidang kuasa yang terbatas.

Tambah beliau, konsep kepimpinan yang benar-benar berintegriti berasaskan aqidah dan taqwa sahaja mampu memberikan suatu jaminan yang kukuh bagi melaksanakan manifesto yang telah dijanjikan dengan benar.

Sementara itu Abdul Hadi berkata, Pas akan mengemaskini pelan tindakan untuk membangunkan Malaysia yang sejahtera dikenali sebagai Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS).

Pelan itu menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai sumber rujukan utama untuk Pas membangunkan Malaysia.

Tambah beliau, Pas memperolehi pengalaman yang sangat berharga telah Pas sepanjang dua tahun berkongsi kuasa dalam Kerajaan Persekutuan.

“Pengalaman ini sangat berguna untuk kita mengemaskini pelan tindakan di dalam WINS sebagai persediaan untuk Pas sekali lagi berada di dalam kerajaan selepas PRU-15 nanti insya-Allah,” katanya. – MalaysiaGazette