Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad ketika berucap pada Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Apabila Pas menjadi kerajaan nanti barulah akan membuka mata segelintir masyarakat yang menghina parti itu sebagai bodoh dan parti lebai.

Naib Presiden Pas Datuk Idris Ahmad yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, melalui jawatan yang dipegang dalam kerajaan membolehkan rakyat lebih mengenali parti itu.

“Menjadi kerajaan membolehkan orang kenal Pas dan pemimpin Pas. Selama ini orang kenal Pas semua buruk belaka, hina Pas itu ini lah, Pas ini bodoh, Pas ini parti pak lebai, Pas ini boleh memerintah sebuah masjid sahaja tak reti.

“Sekarang mereka sedar, berubah persepsi. Kita ada kepimpinan di peringkat negeri, menjadi menteri berubah sikap mereka,” katanya dalam ucapan penggulungan Muktamar Tahunan Pas ke-68 di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Idris, portfolio yang dipeggang sebagai menteri menjaga agama lebih mencabar berbanding dua pemimpin lain iaitu Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang merupakan Menteri Tenaga dan Sumber Asli dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Menteri Alam Sekitar Dan Air.

“Tiga-tiga menteri ini, saya yang paling teruk sekali. Dia air, satu lagi alam sekitar tetapi menteri agama ini kiri kanan pagi petang siang malam (kena serang) tapi masih lagilah senyum di kepala, walau membara di dada.

“Kadang-kala ada yang jumpa saya kata ustaz masih senyum lagi kena hentam siang malam. Ya terima semua tapi dalam siapa tahu. Orang hentam saya macam mana pun saya buat kerja macam biasa,” katanya. – MalaysiaGazette