Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan beramah mesra dengan pewakilan selepas selesai menghadiri ke Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengakui pihaknya masih belum membuat perbincangan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Hamidi mengenai rundingan kerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun Takiyuddin mengesahkan Pas setakat ini melakukan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang mempunyai kedudukan dan peringkat tertentu secara rasmi dan tidak rasmi.

“Saya boleh mengesahkan sebagaimana yang Tuan Guru (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) beritahu kata kita berbincang dengan UMNO, tak semestinya dengan pemimpin-pemimpin tertentu (Presiden UMNO).

“Mungkin akan sampai masanya, tapi biasalah kita buat rundingan ini di peringkat-peringkat tertentu yang tak perlu kita dedahkan.

“Tapi saya mengesahkan bahawa kita ada berbincang secara rasmi dan tidak rasmi ada berbincang,” katanya kepada pemberita selepas penangguhan Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah hari ini.

Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan Pas tidak mengadakan rundingan dalam gelap susulan kenyataan Presiden Pas yang mendakwa kedua-dua parti itu sedang berunding melibatkan pimpinan parti hingga ke peringkat akar umbi.

Mohamad Hasan berkata, beliau sendiri tidak mengetahui yang mana satu individu daripada UMNO seperti dimaksudkan Abdul Hadi yang sedang menjalankan rundingan dengan partinya.

Tambah Takiyuddin, pemimpin-pemimpin UMNO yang ditemui pihaknya diyakini mampu menjayakan rundingan itu termasuk membawa perbincangan itu secara rasmi kelak.

“Pemimpin-pemimpin yang kita rasa, tak semestinya boleh buat keputusan tetapi boleh menuju ke arah kita melakukan perbincangan lebih rasmi,” katanya.

Ditanya sama ada perbincangan itu melibatkan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, Takiyuddin menafikan perkara tersebut.

“Tak, yang berjawatan yang mempunyai standing untuk berbincang dengan kita,” ujarnya.

Takiyuddin juga menegaskan, hubungan Pas dengan UMNO masih boleh diperbaiki malah ia diakui Timbalan Presiden UMNO  sendiri yang mengatakan 27 kerusi berisiko berlaku pertembungan masih boleh dirunding.

“Kerusi yang mungkin dimenangi oleh pihak ketiga (PH), Pas dengan UMNO boleh berbincang untuk berunding. Mungkin tidak berlaku pertembungan yang menyebabkan pihak ketiga menang. Itu diakui saya rasa oleh Timbalan Presiden UMNO sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, pintu rundingan itu sentiasa terbuka kepada UMNO, selari dengan kehendak ahli-ahli Pas di negeri-negeri dan agenda penyatuan ummah yang diluluskan dalam Muafakat Tahunan Pas ke-68 hari ini.

“Politik ini tak semestinya kita terus berada di meja perundingan secara rasmi sahaja, secara tidak rasmi pun begitu. Yang penting sekali saya rasa hasrat dan kehendak ahli-ahli (Pas) dalam UMNO pun saya rasa benda yang sama.

“Kita dwi sistem dalam pendirian kita, kita berunding dan sedia berunding dalam apa sahaja sekali pun selagi tidak sampai pembubaran, tak sampai PRU-15,” katanya lagi. – MalaysiaGazette