Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Ir. Khairil Nizam Khirudin berucap pada Muafakat Nasional sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Chini di Tapak Pasar Tani FAMA, Chini, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 02 JULAI 2020

ALOR SETAR – Ketua Penerangan Pas, Senator Khairil Nizam Khirudin akan berkongsi ‘data kejahatan DAP’ kepada semua ahli untuk digunakan bagi menyerang Pakatan Harapan (PH).

Khairil Nizam dalam ucapan penggulungan Muktamar Tahunan Pas ke-68 hari ini berkata, data-data itu perlu digunakan sebaik mungkin oleh ahli untuk didedahkan kepada rakyat bagi memperlihatkan sisi gelap parti itu.

“Saya menyeru kepada perwakilan kita mesti bawa mode defensif serang DAP dan PH. Boleh atau tidak?

“Isu paling besar yang ada pada Pas, kita kuat dan juara dalam  isu integriti malangnya tak ramai perwakilan sentuh integriti dan rasuah dalam ucapan.

“Kali ini kita akan beri semua data tentang kejahatan DAP, black economy dan sebagainya. Ambil data itu dah gunakanlah dalam apa juga keadaan pastikan rakyat tahu kejahatan PH dan sekutunya,” katanya.

Khairil Nizam juga memberi lampu hijau kepada perwakilan dan pemimpin Pas untuk menyerang UMNO.

Kebenaran itu selari dengan teguran Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu kelihatan dalam mode defensif atau bertahan.

Khairil Nizam juga ditanya oleh akar umbi bahawa Penerangan Pas tidak memberi sebarang respon terhadap kritikan yang dilemparkan oleh UMNO.

“Saya beri contoh rakan sejawat saya (UMNO) Shahrir Hamdan ada beri kritikan pedas kepada Presiden Pas. Soalan, kita nak jawab ke tak? Barangkali tuan-tuan tak baca kritikan itu.

“Semalam Presiden UMNO juga memberi kritikan pedas kepada Presiden Pas tentang ucapan Dasar Tuan Guru dalam muktamar. Soalan, nak jawab ke tak?

“Menjawab atau tidak bergantung kepada pertimbangan. Pertimbangan itu adalah seni. Seni datang dengan maklumat,” katanya.

Serentak itu beliau memberi kebenaran kepada ahli untuk membalas kritikan yang dilemparkan oleh UMNO.

Menurutnya, jika terdapat kenyataan yang silap dalam membalas kritikan pihaknya akan tampil membual pembetulan.

“Sebab itu, saya bersetuju dengan Pasir Putih semalam, kalau tuan-tuan nak hentam tuan-tuan hentam. Terutama Ketua Pemuda Pas, kalau Ketua Pemuda Pusat nak menunjukkan kejantanannya inilah waktunya, serang.

“Bab salah tak salah kami back-up. Kalau silap kita perbetulkan. Begitu juga dengan muslimat, sila jawab, kalau silap kita betulkan kalau tak silap jalan.

“Kalau ada peluang untuk saya buat kenyataan untuk back-up, kita back-up. Tetapi itulah pertimbangn dinamik yang kita ambil nak serang, tak serang. Cuma apa yang dinyatakan oleh Presiden kepada Penerangan kita tidak boleh ada lagi dalam mode defensif,” katanya.

Sementara itu, Khairil Nizam mendakwa media sosial UMNO  dalam keadaan ‘menurun’ selepas pemimpin-pemimpinya dihukum penjara dan dihadapkan ke mahkamah.

Katanya, UMNO terpaksa membuat satu persidangan untuk membincangkan perkara itu supaya gelombang itu tidak menurun.-MalaysiaGazette