ALOR SETAR – Pas optimis rundingannya dengan UMNO mengenai 27 kerusi yang berisiko berlaku pertembungan akan menemui jalan penyelesaian secara rasmi termasuk dengan presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, masih ada ruang perbincangan dan rundingan antara pihaknya dan UMNO.
“Kita tahu bahawa orang-orang ini ada bagi saya ada standing, dia boleh mengesahkan sesuatu perkara dan mungkin akan sampai satu masa.
“Saya percaya, saya optimis, sampai satu masa akan ada perbincangan rasmi. Kita dalam keadaan macam mana pun bersedia.
“Saya sendiri dan pimpinan menerima mandat daripada parti untuk kita teroka apa juga cara yang terbaik,” katanya kepada pemberita di Kompleks Pas Kedah hari ini.
Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan Pas tidak mengadakan rundingan dalam gelap susulan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa kedua-dua parti itu sedang berunding melibatkan pimpinan parti hingga ke peringkat akar umbi.
Mohamad Hasan berkata, beliau sendiri tidak mengetahui yang mana satu individu daripada UMNO seperti dimaksudkan Abdul Hadi yang sedang menjalankan rundingan dengan partinya.
Dalam pada itu, Pas konsisten dengan penyatuan ummah sama ada dengan Perikatan Nasional (PN) mahupun Muafakat Nasional (MN).
Malah katanya, ia tidak bermakna Pas hilang kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila mahu bersama-sama dengan UMNO dan Bersatu.
“Tidak, kita jelas, tagline kita memperkasakan MN dan memperkuatkan PN.
“Pendirian kita jelas, tiada pakatan atau kerjasama dengan PH, itu sangat jelas, tiada apa-apa hubungan kita dengan PH atau mana-mana komponennya untuk PRU-15.
“Yang lain itu kita terbuka untuk bekerjasama. Kalau ada khemah besar pun kami tak terima,” katanya lagi. – MalaysiaGazette