KUALA LUMPUR – Kenyataan kononnya Pakatan Harapan (PH) seperti ‘cacing kepanasan’ kerana dikelilingi golongan pemberi rasuah oleh Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat, Mohd Zuhdi Marzuki dianggap pelik dan lucu.
Malah untuk kepimpinan Pas berterusan menggunakan kaum kononnya golongan perasuah di negara ini amat mengecewakan, kata Timbalan Ketua Penerangan I PKR, Datuk Ramanan Ramakrishnan.
Beliau berkata, tindak tanduk Pas dalam cuba menuding jari kepada PH dan kaum lain kononnya pelindung dosa serta perasuah bukanlah ajaran yang pernah di dukung oleh Allayarham Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dalam parti itu.
“Apa sebenarnya masalah Pas? Apakah anda lupa yang kamu hidup dalam satu keluarga majmuk? Sehingga bila anda mahu timbulkan perpecahan seperti ini dengan cuba menuding kepada agama dan bangsa mahupun parti lain?
“Siapa sebenarnya yang Mohd Zuhdi ini rujuk sebagai pelindung orang berdosa dalam ekonomi kita? Siapakah pemain-pemain industri dosa dan ekonomi gelap dimaksudkan itu?
“Lupakah dia tentang fakta yang selama ini PresidenPKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja yang paling lantang bersuara isu-isu ‘haram’ terutamanya rasuah secara terbuka?
“Apakah Pas lupa antara skandal rasuah terbesar negara yang membuatkan rata-rata rakyat muak dan kecewa sebenarnya adalah seperti 1MDB yang di seleweng dana negara berbilion jumlahnya? Kini yang terbaru LCS pula? Siapa yang lindung atau siapa golongan perasuah itu?
“Bukankah Pas juga antara yang meragui profesionalisme pihak pendakwaan dalam sabitan berprofil tinggi negara kita baru-baru ini? Tolong henti ‘merepek’ yang hakikatnya rakyat sudah bosan, jangan asyik guna isu seperti ini untuk kaburi pengundi kita lagi,” katanya hari ini.
Ramanan mengulas dakwaan Mohd Zuhdi yang mendakwa PH menyerang Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas artikel bertajuk Hapuskan Pemberi Rasuah.
Jelas beliau lagi, sepatutnya Pas lebih berwaspada apabila mengulas isu-isu tertentu yang sebenarnya mampu mengguris pelbagai pihak.
“Tolong manfaatkan kedudukan anda sebagai pemimpin dalam masyarakat majmuk, walaupun adanya perbezaan agama dan politik, tidak perlu terlalu polemik. Kita perlu hidup bersatu padu serta kerjasama sebagai masyarakat progresif yang menumpukan kepada pembangunan rohani serta sosio ekonomi.
“Jangan terlalu fokus sangat dalam beri kenyataan yang boleh menyebabkan perpecahan dan kerosakan umum, sebagai pemimpin kita perlu tunjuk contoh yang jauh lebih baik,” tegasnya. – MalaysiaGazette