SMK Senaling
Gambar kain rentang yang tular dalam media sosial sejak Jumaat lalu. Sumber: Facebook

KUALA LUMPUR – Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senaling, Normah Mohd. Nor menafikan tuduhan beliau bersikap tidak berhati perut sehingga menyebabkan guru-guru di sekolah yang terletak di Kuala Pilah itu mengalami tekanan.

Beliau turut menyifatkan segala tuduhan terhadapnya seperti yang dinyatakan pada kain rentang yang tular dalam media sosial sejak Jumaat lalu itu berbaur fitnah.

Normah menegaskan, tuduhan yang disebarkan tersebut itu berniat jahat dan bertujuan untuk menjatuhkan reputasinya dan sekolah.

“Sebagai pengetua, saya dengan sepenuh hati menggalas amanah apabila ditempatkan di sekolah ini yang sudah lapan bulan tiada pengetua.

“Sebagaimana lazimnya, saya telah membuat penstrukturan semula yang mana saya percaya telah mengundang kepada serangan ke atas diri saya dan Guru Penolong Kanan Pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Gambar kain rentang yang dipercayai dipasang di hadapan SMK Senaling itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen selepas ia tular sejak kemarin.

Normah menambah, beliau terbuka untuk berbincang sebelum ini tetapi tidak akan berkompromi kepada individu yang culas dan sambil lewa dalam bekerja termasuk tidak menunjukkan prestasi baik sepanjang perkhidmatan.

“Saya berpegang kepada piagam pendidikan dan ikrar saya sebagai seorang pengetua dan guru,” jelasnya.

Beliau memberitahu, berikutan insiden tersebut, satu laporan polis telah dibuat dan kes itu difahamkan sedang dalam siasatan.

Normah juga telah melantik peguam dan akan mengambil tindakan undang-undang kepada individu yang menyebarkan fitnah itu serta individu dan laman yang menularkannya dalam pelbagai platform media sosial kerana ia melibatkan maruahnya dan imej sekolah keseluruhannya.

“Saya memberi masa selama 48 jam kepada pihak yang terlibat melakukan serangan dan fitnah ini tampil bertemu saya untuk memohon maaf.

“Walaupun sebagai seorang pentadbir namun saya jua tetap manusia yang mempunyai timbang rasa,” katanya.

Normah berkata, tekanan terhadapnya tidak mungkin membuatkan beliau berganjak daripada mencari kebenaran dan menyatakan haknya sekaligus menghilangkan fokus untuk mengembalikan kecemerlangan di SMK Senaling. – MalaysiaGazette